KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) — Meskipun masih banyak kedai dan bangunan ditutup atas faktor keselamatan, jalan-jalan di Kabul kelihatan sibuk dengan penduduk setempat menjalankan rutin harian termasuk kaum wanita.
Itulah situasi disaksikan sukarelawan Global Peace Mission Malaysia (GPM) yang kini berada dalam misi bantuan kemanusiaan di Afghanistan.
Wakil Chef de Mission GPM Syahrir Azfar Saleh berkata, walaupun kehidupan berjalan seperti biasa, penduduk tempatan tetap prihatin terhadap ketidaktentuan yang dihadapi negara itu selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) pada akhir Ogos dan Taliban kembali berkuasa.
Walaupun ramai penduduk tempatan gembira dengan pengunduran itu dan rakyat boleh menentukan sendiri nasib negara, mereka amat memerlukan barang keperluan harian kerana kesukaran mendapatkan akses bekalan makanan dan duit selain kuasa beli semakin berkurang.
“Orang ramai kehabisan duit ada juga yang tidak dibayar gaji selama tiga hingga empat bulan kebelakangan ini. Sebilangan dipotong gaji lebih 50 peratus.
Pada 28 Ogos, bank pusat negara itu, Da Afghanistan Bank mengeluarkan arahan semua bank perlu mengehadkan pengeluaran kepada US$200 (20,000 afghani) kepada pelanggan setiap minggu, menambah lagi kesengsaraan penduduk tempatan.
“Orang ramai berharap kerajaan dapat bertindak dan mengambil langkah yang perlu untuk mengatasi masalah itu dan mengutamakan kebangkitan ekonomi.
“Masalah ini mungkin tidak baik untuk jangka panjang. Rakyat akan berasa letih, mereka memerlukan makanan dan jaminan masa depan,” katanya kepada Bernama.
Mengenai ketakutan kembalinya pemerintahan Taliban bakal mengakhiri hak wanita, Syahrir Azfar berkata setakat ini wanita masih dibenarkan keluar dan tidak dipaksa memakai ‘niqab’.
“Kami masih dapat lihat wanita bekerja semasa lawatan kami ke universiti swasta di Kabul, walaupun mereka masih tidak dibenarkan bekerja dengan kerajaan.
“Kami harap ini hanya sementara dan berharap selepas ini adanya pemerintahan yang lebih inklusif,” katanya.
Syahrir bersama lima aktivis lain – tiga dari GPM dan tiga dari Muslim Volunteer Malaysia (MVM) kini berada di Kabul untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Afghanistan.
Mereka tiba di Kabul dari Islamabad pada 24 Sept dan pasukan bantuan kemanusiaan pertama dari Malaysia yang memasuki Kabul sejak Taliban mengambil alih.
“Objektif utama kami selain mencari fakta sebenar keadaan di Afghanistan adalah untuk memberikan bantuan kemanusiaan kecemasan kepada penduduk Afghanistan yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata, bantuan diberikan kepada mereka yang memerlukan itu termasuk bekalan makanan harian dan barangan bukan makanan.
“Walaupun belum ada kerajaan rasmi,melihatkan keadaan sekarang, semuanya nampak terkawal. Tiada perintah berkurung dikenakan tetapi pasukan kami disarankan untuk tidak ke mana-mana pada waktu malam,” katanya.
Setakat ini, pasukan itu tidak menghadapi sekatan tentera ketika menjalankan kerja-kerja kemanusiaan.
Beliau berkata, GPM akan terus memantau dan menilai keadaan semasa. GPM dan MVM sedang melihat kemungkinan untuk mengadakan projek sokongan pendidikan dan bekalan air bersih kepada penduduk terjejas serta projek memperkasakan wanita.
Beliau berkata rakyat Malaysia yang berhasrat untuk menyumbang bagi menyokong inisiatif GPM bolehlah berbuat demikian menerusi www.peduliafghanistan.com.
Taliban menguasai Afghanistan pada 15 Ogos ketika AS membawa keluar tenteranya dari negara itu yang menyaksikan bekas presiden Ashraf Ghani turut meninggalkan Afghanistan.
Ini kali kedua Taliban berkuasa dalam tempoh 20 tahun, pertama kali pada 1996 hingga 2001.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Gutteres berkata dunia perlu melibatkan Taliban dan memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan untuk menghindari bencana kemanusiaan dan krisis ekonomi.
Sumber: BERNAMA