Siap Tunjuk Gambar Dekat Kucing Jalanan, Wanita Sedih Cari Kucing Kesayangan Hilang Akhirnya Ditemukan
Tular di media sosial Indonesia berkenaan sebuah video yang memaparkan seorang wanita menangis sambil mencari kucing kesayangannya.
Berdasarkan perkongsian video yang dibuat oleh akaun Instagram @terangmedia, seorang wanita bertudung sedang bersedih mencari kucing yang bernama Ava. Kucing berkenaan dikatakan telah hilang sejak dua hari yang lalu.
Di dalam video tersebut dapat dilihat wanita tersebut turut melakukan sedaya yang mungkin untuk mencari kucingnya yang hilang. Dia sehinggakan turut menunjukkan telefonnya yang memaparkan gambar Ava kepada beberapa ekor kucing jalanan bagi membantu mencarinya.
Usaha wanita tersebut berhasil selepas bertemu dengan seorang pemuda yang mengatakan bahawa dia seperti pernah melihat kucing di dalam gambar yang ditunjukkan tersebut.
Lantas pemuda itu membantu wanita tersebut mencari Ava yang pernah dilihatnya di suatu tempat.
Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang
Wanita itu dapat dilihat sedang menunggu dengan sabar sambil mengalirkan air mata. Selang beberapa minit kemudian, pemuda itu dapat dilihat muncul bersama rakannya menaiki motosikal membawa seekor kucing berwarna oren.
Wanita itu sambil menangis mendapatkan kucing tersebut dan mengatakan bahawa ia benar Ava yang dicarinya. Ava dipeluk erat oleh wanita berkenaan sambil mengalirkan air matanya.
Meninjau di ruangan komen perkongsian video berkenaan, rata-rata netizen yang menonton video tersebut gembira dengan pertemuan semula pemilik kucing tersebut.
Mereka juga sempat meninggalkan komen tanda sokongan kepada wanita tersebut setelah pertemuan semula dengan haiwan kesayangannya itu.
“Alhamdulillah, jumpa juga akhirnya. Hanya pencinta kucing yang akan memahaminya,” tulis seorang netizen.
“Sedihnya, Alhamdulillah jumpa juga dengan kucingnya,” tulis seorang lagi.
“Lagi-lagi oyen(gelaran untuk kucing berwarna oren) yang buat perangai. Lari dari rumah, bila dicari pasti tidak jumpa,” tulis seorang netizen secara berseloroh.
Video tersebut lantas menjadi tular, sehingga kini ianya telah ditonton lebih seribu kali.
Sumber: Bogor Daily, Terangmedia