PUTRAJAYA, 2 Okt – Semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disarankan untuk menangguhkan dahulu sesi pendaftaran pelajar-pelajar baharu secara fizikal dan kemasukan pelajar lama ke kampus.
Kementerian Pengajian Tinggi menerusi satu kenyataan berkata, sebaliknya semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilaksanakan secara dalam talian.
Dalam masa sama, aspek pengajaran dan pembelajaran juga turut boleh dilaksanakan dengan kaedah yang sama hingga satu pengumuman baharu diumumkan.
“Bagi pelajar yang telah berada di kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh kekal berada di kampus masing-masing.
“Pihak IPT diminta membantu segala keperluan yang diperlukan oleh kumpulan pelajar ini,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Selain itu, KPT juga mencadangkan agar semua program atau aktiviti yang melibatkan himpunan di dalam kampus ditangguhkan.
“KPT juga telah mengambil langkah proaktif berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi memohon mempertimbangkan penjadualan semula penerbangan pelajar-pelajar pulang ke kampus, khususnya bagi mereka yang telah membeli tiket penerbangan pulang ke IPT masing-masing.
“Hasil rundingan tersebut, syarikat-syarikat penerbangan telah bersetuju untuk menjadualkan semula penerbangan pelajar sehingga 31 Disember 2020,” tambah kenyataan itu lagi.


Sumber: Kementerian Pengajian Tinggi