Semua lelaki Ukraine berusia 18 hingga 60 tahun kini dilarang keluar dari negara, menurut perkhidmatan kawalan sempadan Ukraine.
Menurut laporan Vice, larangan ini akan berkuatkuasa sepanjang tempoh darurat yang diisytiharkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada Khamis, setelah Rusia melancarkan serangan ke atas negara itu.
“Perkhidmatan Kawalan Sempadan Ukraine melaporkan, oleh kerana perintah darurat diisytiharkan di Ukraine, rakyat yang tergolong dalam beberapa kategori tidak diizinkan keluar dari Ukraine buat sementara waktu,” ujar Menteri Dalam Negeri Ukraine semalam, memetik laporan Vice.
Tambah beliau, larangan ini tertakluk kepada lelaki warganegara Ukraine berusia 18 hingga 60 tahun.
“Lelaki warga Ukraine yang berusia 18 hingga 60 tahun tidak dibenarkan untuk meninggalkan Ukraine. Larangan ini berkuatkuasa sepanjang tempoh perintah darurat. Kami meminta rakyat ambil maklum akan hal ini,” katanya.
Sebelumnya, cadangan Presiden Zelenskyy untuk mengisytiharkan perintah darurat selama 30 hari ke atas Ukraine telah dipersetujui ahli parlimen. Ukraine kini menjalani tempoh darurat bermula jam 5.30 pagi semalam.
Sumber: Vice