Kita sekarang berada di zaman moden yang mana bangunan-bangunan tinggi dan cantik melambangkan kemegahan dan kejayaan sesebuah kawasan mahupun negara. Namun, sedar atau tidak, kita terpaksa membayar harga yang sangat tinggi untuk semua itu.
Harga yang dimaksudkan bukanlah dalam bentuk wang ringgit, akan tetapi kita kehilangan hutan belantara yang digondol atas alasan pembangunan. Lebih teruk, ada hutan-hutan yang dilicinkan semata-mata untuk mendapatkan hasilnya sahaja.
Perkara inilah yang disaksikan oleh jurufoto dari Brazil yang pulang ke kampung halamannya selepas beberapa tahun merantau ke Afrika untuk melaporkan mengenai pembunuhan beramai-ramai di sana.
Luiz MaximianoSebastião Salgado dan isterinya, Lelia yang pulang ke kampung halamannya di Minas Gerais, satu negeri di tenggara Brazil pada tahun 1994 terkejut melihat kawasan yang dihiasi dengan kehijauan rimba itu telah dimusnahkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Bercakap kepada The Guardian pada tahun 2015, Salgado memberitahu, “Kawasan itu sakit, sama seperti diri saya – semuanya telah dimusnahkan.” Beliau kemudian memberitahu bahawa isterinya telah hadir dengan idea menakjubkan untuk menanam semula pokok-pokok di kawasan berkenaan.
“Apabila kami melaksanakan, haiwan-haiwan seperti serangga, burung dan ikan mula kembali ke sana dan atas peningkatan jumlah pokok inilah, saya rasa saya seperti dilahirkan semula(mentalnya kembali pulih)”, katanya lagi.
Pada peringkat awal, mereka telah mengupah lebih 24 orang pekerja untuk membantu menanamkan pokok dan kemudiannya, ramai sukarelawan mula datang untuk membantu.
FB Instituto TeraHasil usaha mereka selama lebih kurang dua dekad, kawasan itu akhirnya kini semakin menghijau. Malah mereka kini sudah pun menubuhkan Instituto Terra, sebuah organisasi khas untuk alam sekitar di sana dan telah pun menanam lebih 4 juta batang pokok sejak dari tahun 1998.
Kejayaan Salgado dan Lelia ini membuktikan dengan usaha dan komited yang tinggi, sesiapa sahaja mampu untuk memulihkan Bumi ini kepada keadaan yang lebih baik.
Ia perlu dilakukan bersama bukan sahaja untuk diri kita dan anak-anak, malah untuk anak-anak mereka dan generasi-generasi yang akan datang.
Sumber: The Epoch Times, Instituto Terra