Bukan mudah untuk mengekalkan perpaduan dalam negara yang dihuni oleh masyarakat yang berbilang agama dan kaum. Akan ada pelbagai krisis dan isu yang boleh menggoyahkan keharmonian dan kesejahteraan yang dimiliki selama ini.
Namun, semua itu tiada tandingannya dengan kisah-kisah sebenar yang berlaku dalam kalangan masyarakat yang saling menghormati di antara satu sama lain.
Sama seperti kisah yang tular di media sosial hari ini mengenai seorang wanita yang bukan beragama Islam menghormati dan menghargai pekerja-pekerjanya yang sedang bersolat.
Menerusi perkongsian Wendy Gwen di Instagram Story, dia meluahkan rasa pilu apabila melihat pekerjanya sedang bersolat di bawah panas terik dan hanya beralaskan zink.
Apa yang menyentuh hati adalah apabila dia dan suaminya berpakat membeli kanopi untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pekerjanya. Tidak cuma itu, dia juga menyediakan tikar untuk menjadi alas tempat solat.
Gwen juga turut memberikan nasihat kepada orang ramai agar melayan sesiapa saja dengan sebaiknya tanpa mengira pangkat.
Menurutnya, ia merupakan satu ‘pemandangan’ yang memberikannya keinsafan dan tamparan hidup buatnya.
Perkongsiannya itu telah menarik perhatian netizen yang terharu dan kagum dengan sikap Gwen dan suaminya yang menghormati pekerjanya walaupun berlainan agama.
Sumber: Dewi Almeera Ashalina, Gwen Wendy