Dua lelaki berjaya diselamatkan selepas hanyut di sekitar lautan Oceania selama 29 hari gara-gara sistem pengesanan global (GPS) mereka mengalami kerosakan.
Bagaimanapun, kedua-duanya, Livae Nanjikana dan Junior Coloni mendakwa ‘kehilangan’ mereka sepanjang tempoh itu bagaikan satu ‘percutian panjang yang menarik’.
Pada awalnya , mereka yang juga bekerja sebagai kelasi kapal itu memulakan perjalanan dari Pulau Mono pada 3 September lalu dengan menaiki sebuah motorbot berkuasa 60 kuasa kuda.
Namun masalah mula berlaku apabila angin kencang dan hujan lebat ‘mengganas’ semasa mereka dalam perjalanan menuju ke Pulau New Georgia hingga menyebabkan bot yang dinaiki tersebut rosak.
Dalam masa sama, GPS yang dipasang pada bot tersebut turut terjejas, lantas mengakibatkan mereka hilang kawalan dan hanyut tanpa arah hingga 400 kilometer dari lokasi bermula.
Sepanjang hampir sebulan terapung, mereka hanya bertahan hidup dengan memakan buah oren yang dibawa bersama, selain kelapa hanyut yang dikutip di lautan dan air hujan yang ditadah menggunakan kanvas kecil.
Bagaimanapun derita tersebut berakhir pada 2 Oktober baru-baru ini apabila sekumpulan nelayan menemui mereka yang hanyut dalam keadaan lemah.
Kedua-dua lelaki malang itu akhirnya dibawa naik ke darat semula dan dihantar ke hospital untuk dirawat dan direhatkan, sebelum dibawa pulang ke rumah mereka di Bandar Pomio.
“Saya tak tahulah macam mana kami boleh hanyut sampai ke sana. Sepanjang tempoh tu saya tak dengar apa-apa pun pasal Covid ke atau lain-lain.
“Saya cuma nak balik ke rumah, tapi saya rasa ia adalah satu tempoh bercuti yang sangat menarik,” kata Nanjikana, memetik laporan The Guardian melalui India Times.
Difahamkan, mereka tidak dibenarkan kembali ke tempat asal di Pulau Solomon ketika ini kerana sekatan perjalanan akibat COVID-19.
Sumber: India Times