Dipercayai kerana terpaksa mencuri, seorang lelaki dilaporkan meninggalkan sepucuk surat buat seorang pemilik rumah di Madhya Pradesh, India.
Menurut NDTV.com, lelaki itu mendakwa dia terpaksa mencuri bagi menyelamatkan nyawa rakannya dan akan memulangkan wang yang dicuri itu pada masa akan datang.
Tulis portal itu, kejadian berkenaan berlaku di sebuah rumah yang juga dimiliki seorang anggota polis. Melihat kepada isi surat tersebut pula, seakan ada sesuatu di sebalik ‘keterpaksaan’ suspek melakukan kegiatan itu.
“Maaf kawan, saya terpaksa. Kalau saya tak buat, kawan saya mungkin mati. Jangan risau, sebaik sahaja dapat duit, saya akan pulangkan,” tulis pelaku di dalam surat terbabit.
Ketika kejadian, ahli keluarga anggota berkenaan dipercayai sedang berada di rumah saudara sebelum pulang dan mendapati rumah mereka dalam keadaan kucar kacir.
Sebaik sahaja pulang ke rumah, mereka mendapati kunci di dalam bilik telah rosak dan barangan berselerakan, lapor portal itu.
Pencuri terlibat telah mencuri perhiasan emas dan perak dipercayai atas bantuan kenalan keluarga berkenaan.
Siasatan terhadap kes itu masih berjalan sehingga kini.
Sumber: NDTV.com