Sebuah kapal persiaran mewah, ‘ Diamond Princess Cruises’ yang membawa 3,7000 penumpang kini ditempatkan di pelabuhan Jepun, apabila kesemua penumpang dikuarantin di atas kapal selepas seorang daripada mereka disahkan mengalami jangkitan koronavirus.
Penumpang tersebut dikatakan telah berlepas daripada Tokyo sebelum menghabiskan masa beberapa hari di atas kapal tersebut.
Mangsa merupakan seorang warga emas berusia 80-an dari Hong Kong yang berada di Tanah Besar China selama beberapa jam pada 10 Januari lalu.
Menurut laporan, mangsa dikatakan mendapat virus itu daripada orang lain kerana dia tidak mengunjungi mana-mana kawasan berpotensi penularan virus termasuk pasar makanan laut.
Pda 17 Januari lalu, dia berlepas ke Tokyo dan mula mengalami simptom batuk-batuk pada 19 Januari. Dia kemudiannya menaiki kapal pada keesokkannya harinya dan turun di Hong Kong pada 25 Januari sebelum mendapat rawatan lima hari kemudian.
Susulan itu, menurut satu kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Jepun, pegawai perubatan telah memeriksa setiap penumpang dari bilik ke bilik bagi membuat saringan suhu badan dan memeriksa keadaan kesihatan mereka.
Setakat ini, 10 orang yang berada di atas kapal yang berada di Pelabuhan Yokohama itu telah disahkan mengalami jangkitan koronavirus.
Manakala, terdapat 100 lagi sampel yang masih menunggu keputusan ujian.
Difahamkan, Kapal persiaran berkenaan membawa 2,666 penumpang dan 1,045 anak kapal.
Sumber : CNN