Sampah angkasa wujud sejak era permulaan terhadap eksplorasi angkasa lepas pada tahun 1950-an, di mana manusia telah melancarkan beribu-ribu roket dan menghantar lebih banyak satelit ke orbit. Kebanyakannya masih lagi ada dan risiko perlanggaran bagi setiap struktur ini kian meningkat.
Kredit: ESA/ID&Sense/ONiRiXEL via NHMMalam tadi, kita dikhabarkan dengan berita serpihan roket angkasa lepas China yang melintasi ruang udara Malaysia pada 12:55 pagi dan akhirnya terhempas ke Laut Sulu. Serpihan itu merupakan sebahagian daripada roket Long March 5B China yang telah dilancarkan pada Ahad lalu.
Menurut Natural History Museum, selama eksplorasi ruang angkasa dijalankan, manusia jugalah yang telah mencipta kerosakan. Bukan setakat Bulan sahaja, kini beribu-ribu satelit mati, bersama-sama dengan serpihan dari semua roket yang telah dilancarkan juga turut mengorbit mengelilingi bumi. Perkara ini boleh menimbulkan isu pada suatu hari nanti.
Apa itu sampah angkasa?
Sampah angkasa atau serpihan angkasa ialah apa-apa bahagian pada mesin atau serpihan yang telah ditinggalkan oleh manusia di angkasa lepas. Ia juga boleh dirujuk kepada objek besar seperti satelit mati, sama ada yang gagal berfingsi ataupun telah ditinggalkan di atas orbit selepas tamat misi.
Ia juga boleh digunakan untuk merujuk kepada objek yang memiliki saiz yang kecil seperti serpihan ataupun bintik-bintik cat yang tertanggal daripada badan roket. Selain itu, terdapat juga beberapa sampah buatan manusia yang telah ditinggalkan di atas Bulan.
Berapakah anggaran jumlah sampah angkasa secara keseluruhan?
Menurut NHM, terdapat kira-kira 2,000 satelit yang masih lagi aktif di orbit Bumi pada masa ini, manakala 3,000 satelit lagi sudah tidak berfungsi dan dibiarkan begitu sahaja. Tambahan pula, terdapat dalam anggaran 34,000 serpihan angkasa yang memiliki saiz lebih daripada 10 sentimeter (cm) dan tetap boleh menjadi masalah jika ia terlanggar dengan sesuatu yang lain.
Bagaimanakah sampah angkasa boleh berlegaran di angkasa lepas?
Semua sampah angkasa berpunca daripada manusia sendiri dan akan kekal di atas orbit sehinggalah ia memasuki ruang atmosfera. Sesetengah objek yang berada di atas orbit rendah iaitu beberapa ratus kilometer dari atmosfera bumi boleh kembali dengan cepat. Ia sering memasuki semula atmosfera selepas beberapa tahun dan sebahagian besarnya akan terbakar dan sudah semestinya tidak akan sampai ke tanah.
Walau bagaimanapun, serpihan atau satelit yang ditinggalkan pada ketinggian orbit yang lebih tinggi iaitu 36,000 kilometer (km), juga merupakan kedudukan orbit satelit komunikasi dan cuaca, ia boleh terus mengelilingi Bumi selama ratusan atau bahkan ribuan tahun.
Sesetengah sampah angkasa terhasil daripada perlanggaran atau ujian anti-satelit di orbit. Apabila dua satelit berlanggar, ia boleh pecah dan menjadi beribu-ribu serpihan baharu. Terdapat juga beberapa kes yang jarang berlaku, iaitu beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, China dan India telah menggunakan peluru berpandu untuk berlatih dengan meletupkan satelit mereka sendiri. Inilah yang akan menghasilkan beribu-ribu lagi serpihan yang berbahaya.
Apakah risiko sampah angkasa kepada penerokaan angkasa lepas?
Mujurlah, sampah angkasa lepas tidak menimbulkan risiko besar kepada misi penerokaan angkasa pada masa ini. Namun bahaya terbesar yang boleh ditimbulkannya adalah terhadap satelit lain di orbit.
Sampah angkasa perlu keluar daripada laluan satelit untuk memastikan ia tidak berlanggar dan berpotensi untuk merosakkan atau memusnahkannya.
Secara keseluruhan, beratus-ratus gerakan telah dilakukan oleh satelit bagi mengelakkan perlanggaran yang berlaku pada setiap tahun, termasuklah Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang telah menjadi tempat tinggal bagi angkasawan.
Kredit: NASA via NHM
Kredit: Natural History MuseumApakah yang boleh dilakukan untuk membersihkan sampah angkasa?
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta semua syarikat untuk mengeluarkan satelit mereka darip orbit dalam tempoh 25 tahun selepas tamat misi. Hal ini adalah sangat sukar untuk diimplementasikan kerana kebanyakan satelit gagal untuk dilakukan sedemikian. Untuk mengatasi masalah ini, beberapa syarikat di seluruh dunia telah mengemukakan jalan penyelesaian yang unik.
Hal ini termasuklah mengalihkan satelit mati darip orbit dan membawanya ke permukaan atmosfera semula untuk mengalami pembakaran secara semula jadi. Cara yang boleh dilakukan termasuklah menggunakan tempuling untuk menangkap satelit, menangkapnya dalam jaring yang besar atau menggunakan magnet untuk mencapainya. Bahkan ada juga cara dengan tembakan laser pada badan satelit. Hal ini adalah untuk memanaskan satelit dan meningkatkan seretan atmosferanya agar ia terkeluar dari orbit.
Walau bagaimanapun, cara-cara tersebut hanya boleh diaplikasi pada serpihan besar atau satelit besar sahaja. Ini bukanlah cara untuk melupuskan cebisan kecil seperti kepingan cat dan logam. Kita hanya perlu menunggu ia memasuki atmosfera Bumi semula secara semula jadi.
Apakah sindrom Kessler?
Ini adalah idea yang dicadangkan oleh saintis NASA, Donald Kessler pada tahun 1978. Beliau berkata bahawa jika terdapat terlalu banyak sampah angkasa di orbit, ia boleh mengakibatkan tindak balas berantai yang mana, semakin banyak objek berlanggar, semakin banyak serpihan angkasa. Hal ini telah mencipta sampah angkasa baharu dan proses tersebut berlaku secara berterusan dan akhirnya, orbit Bumi menjadi tidak boleh digunakan.
Idea ini kelihat terlalu ekstrem tetapi sesetengah pakar bimbang bahawa varian ini mungkin menjadi masalah pada satu hari nanti. Beberapa langkah juga perlu diambil untuk mengelakkannya daripada berlaku. Idea ini turut dipopularkan dalam filem Gravity.
Adakah sampah angkasa akan menjadi satu masalah pada masa depan?
Perkara ini boleh berlaku pada masa depan. Hal ini dikatakan kerana, beberapa syarikat sedang merancang kumpulan satelit baharu yang besar yang dipanggil sebagai mega constellations yang akan memancarkan internet ke Bumi.
Syarikat-syarikat ini termasuk SpaceX dan Amazon telah merancang untuk melancarkan beribu-ribu satelit untuk mencapai liputan internet satelit global. Jika berjaya, mungkin terdapat tambahan 50,000 satelit di orbit. Hal ini juga bermakna sampah angkasa akan memiliki kebarangkalian yang lebih tinggi untuk melanggar satelit-satelit di angkasa.
Kredit: SpaceX/Flickr via NHMPada September 2019, Agensi Angkasa Eropah mengalihkan satelit pertamanya untuk mengelakkan perlanggaran dengan mega constellations. Perkara ini agak luar biasa kerana satelit terpaksa melakukan peralihan untuk mengelakkan pelanggaran dengan satelit aktif yang lain.
Dengan memastikan satelit boleh dikeluarkan dari orbit, ia dapat mengurangkan masalah sampah angkasa lepas pada masa hadapan dan merupakan satu perkara yang munasabah untuk melupuskan sesuatu yang tidak lagi aktif.
Orbit bumi membolehkan manusia untuk mengkaji angkasa, menghantar komunikasi dan banyak lagi. Adalah penting untuk kita menggunakannya secara mampan, membolehkan generasi akan datang untuk menikmati manfaatnya juga.
Sumber: Natural History Museum