Bertemu jodoh dengan seseorang di puncak gunung, mungkin agak menarik, kan? Lebih-lebih lagi bagi mereka yang bergelar pendaki tegar.
Mana tidaknya, sama-sama boleh berkongsi minat, rasa penat, sakit mendaki dan cabarannya, apatah lagi kalau dirangkumkan kesemuanya menjadi satu kombinasi?
Begitulah yang dilalui oleh pendaki tegar Mohd Raffidi Omar apabila beliau bertemu jodohnya ketika mendaki gunung.
Mari ikuti kisah menarik ini.
Gambar: Mohd Raffidi OmarMenurut Raffidi, segalanya bermula apabila mereka ditakdirkan bertemu buat kali pertama semasa dalam misi pendakian Gunung Rajah, Pahang pada 2018 lalu.
Daripada sekadar berkawan sebagai rakan sependakian, hubungan mereka mula serius untuk ke peringkat yang lebih tinggi.
Tambahan pula, cinta antara mereka mekar berputik hanya disebabkan masing-masing mempunyai aktiviti kegemaran yang sama iaitu mendaki.
“Hobi dan minat yang sama buat saya jatuh cinta dan melamarnya,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli hari ini.
Gunung tinggalkan nilai sentimental
Orang kata, setiap perkara yang kita pernah lalui dalam sejarah hidup pasti akan meninggalkan nilai sentimental buat diri kita.
Begitu juga yang dirasai oleh anak jati Kuala Lumpur ini, Raffidi sendiri mempunyai dua gunung yang ada nilai sentimentalnya terhadap hubungan mereka berdua sebelum ini.
“Gunung yang memberi nilai sentimental kepada kami berdua ialah Gunung Tahan, Pahang dan Gunung Kinabalu, Sabah.
“Walaupun mendaki itu penat, namun kepenatan itu hilang apabila dapat sampai ke puncak dan menikmati pemandangan indah dari puncak bersama-sama,” katanya lagi.
Semasa mendaki Gunung Yong Belar dalam kumpulan sama | Gambar: RaffidiDalam pada itu, banyak juga pengalaman manis dan pahit ditempuhi mereka berdua ketika mendaki gunung bersama kumpulan.
“Pengalaman manisnya, kami selalu tiba sama-sama di puncak gunung setiap kali mendaki.
“Manakala pengalaman pahitnya pula, isteri (yang ketika itu masih rakan mendaki) selalu terpijak lumpur semasa ‘on track’ sebab kakinya tak sampai. Pendek,” selorohnya.
Dari gunung ke jenjang pelamin
Setelah beberapa bulan mendaki gunung bersama sambil mengenali hati budi masing-masing, Raffidi menyuarakan hasrat hatinya untuk melamar gadis idamannya itu pada Januari 2019.
Selepas dua tahun menjalin cinta, akhirnya mereka pun telah selamat disatukan sebagai pasangan suami isteri pada Ahad, 20 Disember baru-baru ini.
Dengan sekali lafaz, Raffidi kini sudah sah bergelar suami kepada pasangannya, Nik Zuraida Nik Mustafa.
Kisah cinta mereka dikongsikan ke group Facebook Hiking & Camping Around Malaysia dan mendapat pujian daripada kalangan warga pendaki di sana.
Gambar: Mohd Raffidi OmarDalam pada itu, mereka juga ada impian besar tersendiri untuk dicapai bersama-sama setelah menjadi pasangan suami isteri ini.
“Perancangan selepas COVID-19 kami nak tawan Annapurna Base Camp, Nepal,” katanya.
Tahniah buat pasangan Raffidi dan Nik Zuraida. Selamat pengantin baharu diucapkan, semoga kekal bahagia selama-lamanya.
Oh ya, jika anda yang masih ‘single’, mungkin boleh cuba mendaki mana-mana bukit atau gunung terdekat, manalah tahu ada jodoh di sana?
Sumber: Mohd Rafidi Omar melalui Hiking & Camping Around Malaysia