Saintis Jangka 110 Trilion Tan Ais Di Greenland Akan Mencair, Paras Air Laut Berisiko Naik Hampir 30cm
Kajian sekumpulan saintis mendapati bahawa pencairan ais di Greenland kini tidak dapat dielakkan, biarpun manusia mengambil tindakan segera menghentikan pelepasan gas rumah hijau.
Menurut kajian tersebut yang diterbitkan dalam jurnal Nature Climate Change, menjangkakan kira-kira 3.3 peratus kawasan ais Greenland, bersamaan kira-kira 110 trilion tan ais, akan mencair yang mana akan menyebabkan peningkatan paras laut hampir sekaki (kira-kira 30.4 cm).
Menggunakan kaedah kajian yang berbeza, dapatan tersebut menawarkan hasil yang lebih mengejutkan berbanding kajian-kajian lain. Walaupun kajian tersebut tidak menyebut secara jelas bila peristiwa itu boleh berlaku, namun mereka tidak menolak ia mungkin berlaku bermula sekarang sehingga tempoh tahun 2100.
”Apa yang pasti, kita memerlukan satu perancangan apa yang kita mahu buat dengan pencairan ais ini. Ia mungkin berlaku dalam masa terdekat atau dalam tempoh 100 tahun atau lebih.
”Setiap dapatan kajian semasa mendedahkan data yang lebih besar berbanding data sebelumnya. Ia selalu lebih pantas daripada apa yang kita mampu jangkakan,” kata William Colgan, salah seorang pengkaji yang terlibat dalam kajian berkaitan ais di Greenland.
Beberapa pihak berpendapat kajian terbahru ini yang meramalkan kesan lebih buruk mungkin berpunca daripada cubaan mengira berapa banyak ais Greenland perlu cair untuk menyeimbangkan keadaan disana dengan perubahan cuaca. Manakala ramalan yang dibuat menerusi perisian komputer pula yang mengkaji bagaimana ais memberi reaksi terhadap pelepasan global memberikan hasil yang kurang membimbangkan.
Peningkatan paras laut sebanyak 30cm akan mendatangkan kesan yang sangat memudaratkan. Menurut satu kajian, peningkatan paras laut diantara 25 hingga 50 cm di kawasan berpantai Amerika Syarikat menjelang 2050 akan menyebabkan bencana banjir buruk luar biasa boleh berlaku lima kali lebih kerap, dan banjir biasa berlaku 10 kali lebih kerap.
Sumber: Washington Post