Pakar mendapati virus paru-paru yang menyebabkan COVID-19 boleh menyebabkan pembekuan darah yang pantas dan boleh membawa maut.
Hal ini telah dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebook beliau sebentar tadi.
Menurut Bloomberg, pembekuan darah itu boleh berlaku dengan pantas dan menyebabkan kematian.
Doktor di seluruh dunia dilaporkan menyedari gangguan yang dipercayai berpunca daripada pembekuan darah, dari inflamasi pada bahagian kaki dipanggil Covid toe hinggalah strok dan salur darah tersumbat.
Apa yang lebih merisaukan adalah jika pembekuan darah itu tidak dirawat, ia akan muncul dalam tempoh berhari-hari atau berbulan setelah simptom pernafasan pulih.
Penemuan ini merupakan antara penemuan terpenting dalam tempoh satu atau dua bulan lepas, kata Mitchell Levy, Ketua Perubatan Kritikal Pulmonari dan Ubat Tidur di Warren Albert School of Medicine di Brown University di Providence, Rhode Island.
Pada 1918, pandemik Spanish flu yang membunuh kira-kira 50 juta orang di seluruh dunia turut menyebabkan pembekuan darah yang boleh membawa maut.
Selain itu, virus seperti HIV, denggi dan Ebola juga menyebabkan sel darah membeku. Namun, ia lebih ketara dengan pesakit koronavirus.
Pembekuan darah itu menyebabkan halangan penyaluran darah ke paru-paru, menyebabkan masalah pernafasan.
Fenomena ini dipercayai menyebabkan pesakit jatuh sakit secara tiba-tiba dan kekurangan oksigen di dalam darah, kata Margaret Pisani, Profesor Madya Perubatan di Kampus Perubatan, Yale University.

Penyelidik China telah mengesan gangguan ini dalam kalangan pesakit COVID-19 di sana pada Februari lalu, namun kini kesannya lebih ketara.
Sebelum ini doktor berpendapat bahawa kebanyakan kerosakan paru-paru adalah disebabkan radang akibat virus (viral pneumonia). Namun, kini mereka mengkaji lebih teliti sama ada pembekuan darah menjadi punca kegagalan paru-paru pesakit COVID-19.
“Jika kamu lihat bedah siasat sekarang, kami melihat perkara yang tak dijangka,” kata Anthony Fauci, Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Negara Amerika Syarikat.
Sementara itu, kajian di Perancis dan Netherlands mendapati seramai 30 peratus pesakit COVID-19 yang kritikal mengalami embolisme pulmonori, iaitu penyumbatan di salah satu arteri di paru-paru. Keadaan ini boleh menyebabkan kematian pesakit apabila darah beku dari urat di kaki bergerak ke paru-paru.
Secara perbandingan, kajian mendapati kebiasaan embolisme pulmonori berlaku dalam kalangan pesakit kritikal selain pesakit COVID-19 adalah 1.3 peratus.
Sumber: Bloomberg