Sekumpulan saintis mendakwa telah menemui virus ‘purba’ yang membeku dalam dua sampel ais yang diambil dari Dataran Tinggi Tibet di China. Kebanyakan dari virus itu dikatakan tidak pernah dilihat sebelum ini.
Penemuan yang diterbitkan dalam jurnal Microbiome pada Rabu memperlihatkan bahawa semua virus itu berasal dari ais yang diambil pada tahun 2015 yang didakwa mula membeku sekurang-kurangnya 14,400 tahun yang lalu, lapor USA Today.
“Glasier ini terbentuk secara beransur-ansur bersama dengan debu dan gas, banyak virus yang tersimpan di dalam ais itu.
“Glasier yang terletak di barat China itu tidak dikaji dengan baik, kami menggunakan maklumat ini untuk mencerminkan persekitaran masa lalu dan virus merupakan sebahagian daripada persekitaran tersebut,” kata pengarang utama dan penyelidik di Ohio State University Byrd Polar and Climate Research Center, Zhi-Ping Zhong.
Difahamkan, semasa penyelidik menganalisis ais, mereka menemui kod genetik untuk 33 virus.

Daripada 33 virus tersebut, kod genetik untuk empat daripadanya menunjukkan bahawa ia adalah sebahagian daripada keluarga virus yang biasanya menjangkiti bakteria.
Manakala, 28 pula merupakan novel, yang bermakna ia tidak pernah dikenal pasti sebelum ini.
Para penyelidik mengatakan bahawa mereka tidak percaya bahawa virus itu berasal dari haiwan atau manusia tetapi ianya merupakan dari tanah atau tumbuhan. Kira-kira separuh dari virus itu selamat kerana ais.
“Ia mungkin virus yang berkembang dalam lingkungan yang ekstrem, tidak cuma itu, ia mempunyai tanda-tanda gen yang membantunya menjangkiti sel di persekitaran yang sejuk,” kata pengarang bersama kajian dan pengarah Pusat Sains Mikrobioma Ohio State, Matthew Sullivan.
Tambahnya lagi, teknologi yang digunakan untuk mengkaji mikroba dan virus di dalam ais akan terarah kepada pencarian urutan genetik yang sama di persekitaran ais yang ekstrem lain seperti di Marikh.
Pengarang kanan kajian, Lonnie Thompson pula mengatakan bahawa penemuan virus di glasier ais itu akan membantu penyelidik memahami bagaimana ia bertindak balas terhadap perubahan iklim.
Sumber: USA Today