Penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo, 37, bengang terhadap rakan sepasukannya, David De Gea selepas penjaga gol itu buat dua kesilapan mudah hingga dimalukan Brentford 0-4 awal pagi tadi, lapor The Sun UK.
Selepas mendapat kepercayaan pengendali United, Erik Ten Hag, Ronaldo sebelum ini kembali semula dalam kesebelasan utama Red Devils dalam misi memburu tiga mata penuh.
Bagaimanapun, United yang bertandang di gelanggang lawan terpaksa menahan malu apabila pasukan itu ‘melepaskan’ empat gol pada separuh masa pertama.
Difahamkan, gol pertama Brentford hadir selepas penjaga gol United itu gagal menangkap kemas sepakan yang dilakukan oleh Joshua Dasilva pada minit ke-10.
Detik hitam De Gea tidak berhenti di situ sahaja apabila dia sekali lagi melakukan kesilapan dengan cuba bermain di bahagian pertahanan bersama Christian Eriksen.
Malangnya, bola berjaya dicuri oleh pemain lawan hingga menyebabkan gol kedua terhasil menerusi pemain, Mathias Jensen pada minit ke-18.
Bintang Portugal itu kemudian melambaikan tangan dan menunjukkan kekecewaannya terhadap penjaga gol Sepanyol berkenaan menerusi rakaman yang berjaya dirakam.
Ronaldo pada ketika itu cuba untuk memberikan semangat kepada rakan sepasukannya dengan mengangkat jari seolah-olah mengatakan mereka hanya perlu satu gol untuk kembali semula dalam permainan, lapor The Sun.
Bagaimanapun, pemain tuan rumah Ben Mee pula meledak gol ketiga pada minit ke-30 sekaligus menambah derita pelawat dari Old Trafford itu.
Impian United untuk bangkit semakin sukar selepas Bryan Mbeumo menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-35 sebelum tamat separuh masa pertama.
Keputusan itu sudah cukup untuk Brentford mengesahkan tiga mata penuh terhadap United di gelanggang sendiri.
Gambar: Getty via The Sun UK“Bayangkan menjadi seorang pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, Ronaldo terpaksa bermain dengan pasukan yang lemah dan menyedihkan ini? Mesti ia sebuah penyeksaan untuk @Cristiano dan berharap dia keluar dengan segera,” tulis Piers Morgan di Tweet.
Kekalahan Manchester United terhadap Brenford itu meletakkan pasukan Ten Hag menduduki tangga tercorot liga buat masa kini.
Perkara itu mungkin akan membuatkan dirinya berfikir semula tentang status keberadaannya di Old Trafford.
Gambar: Richard Pelham via The SunTerdahulu, pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali itu tidak diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan pertama menentang Brighton minggu lalu.
Perkara itu menjadi tanda tanya mengenai masa depannya di kelab berkenaan. Namun, Ten Hag mendakwa bahawa Ronaldo tidak akan meninggalkan kelab itu walaupun sering dikaitkan dengan isu perpindahan.
Sumber: The Sun UK