RM641,000.00 Untuk Pemerkasaan Program Pemulihan Dalam Komuniti Wilayah Persekutuan
Wilayah Persekutuan Labuan, 30.09.2024 – Jabatan Wilayah Persekutuan memperuntukkan RM641,000 melalui Program Pembangunan Komuniti Wilayah Persekutuan. Dana ini diagihkan kepada 14 Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PPDK), merangkumi 10 PPDK di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM485,941.00), 3 di Putrajaya (RM107,059.00) dan 1 di Labuan (RM48,000).
Inisiatif ini bertujuan untuk pembaikan premis dan pembelian peralatan serta keperluan asas untuk melancar dan memperkasakan program PPDK. Dengan dana yang diperuntukkan tersebut, pelbagai penambahbaikan dapat direalisasikan termasuk pembaikan premis dan kemudahan asas.
Selain itu, sumbangan ini juga membiayai pembelian keperluan peralatan seperti alat rangsangan bilik terapi multisensori snoezelen, alat bantu mengajar dan keperluan seperti komputer dan penghawa dingin.
Keperluan khusus pelatih-pelatih di PPDK seperti kerusi khas untuk pelatih cerebral palsy, alat permainan Montessori dan peralatan terapi lain juga antara perkara yang diberi perhatian dalam inisiatif ini.

Program Pemulihan dalam Komuniti merupakan strategi pembangunan komuniti yang menekankan pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang, dan integrasi sosial OKU. Program ini dilaksanakan melalui kerjasama bersepadu antara OKU, keluarga, komuniti serta perkhidmatan kesihatan, pendidikan, vokasional, dan sosial yang bersesuaian.
Di Wilayah Persekutuan khususnya, para pelatih di PPDK meliputi individu yang mengalami Syndrom Down, autisme, masalah fizikal dan intelektual. Terdapat juga PPDK khusus untuk anak-anak yang OKU penglihatan di PPDK Permata dan OKU pendengaran serta percakapan di PPDK Kiu yang mana program ini hanya terdapat di Wilayah Persekutuan sahaja buat masa ini.

Dengan sokongan ini, anak-anak istimewa ini dapat menjalani pemulihan dalam suasana yang kondusif dengan kelengkapan yang selesa, selaras dengan teras Program Usaha Jaya Insan (PUJI) Wilayah Persekutuan, iaitu Ihsan dan Infra.