Kedatangan beratus-ratus pelarian di Aceh yang kemudiannya melarikan diri memperlihatkan bahawa Indonesia hanya menjadi ‘persinggahan’ bagi semua pelarian tersebut untuk ke negara tujuan mereka iaitu Malaysia, lapor Kompas.com.
UNHCR melaporkan bahawa setelah hampir 400 orang Rohingya tiba di Indonesia dalam dua gelombang pada tahun lalu, jumlah pelarian kini hanya tinggal 112 orang.
Pegawai tempatan juga mengatakan bahawa para pelarian tersebut melarikan diri tanpa pengetahuan pengawal di sana.
Pelarian Rohingya dikatakan melarikan diri dari kem di Aceh kerana kehendak mereka yang tidak mahu menjadikan Indonesia sebagai destinasi terakhir.
Menurut pengarah organisasi bukan kerajaan, Arakan Project, Chris Lewa, mengatakan bahawa mereka ingin datang ke Malaysia.
Ia susulan daripada ratusan pelarian yang diketahui telah meninggalkan kem mereka di Lhokseumawe, Aceh.
“Indonesia bukanlah negara tujuan, namun Indonesia menjadi tempat transit kerana tidak dapat mendarat atau tidak dapat sampai ke Malaysia,” katanya kepada Kompas.com.
Tambahnya lagi, golongan perempuan lebih ramai dalam kumpulan pelarian yang tiba di Aceh pada tahun lalu dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.
Ramai di antara mereka sudah dijodohkan untuk menikah dengan warga Rohingya di Malaysia.
Pegawai Perhubungan Awam Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) Indonesia, Mitra Suryono, pula mengatakan bahawa pelaksanaan pengendalian adalah sangat kompleks dan memerlukan koordinasi antara kerajaan, UNHCR dan pihak-pihak lain.
“Pengurangan jumlah pelarian di tempat perlindungan berlaku walaupun kita telah dan terus meningkatkan kesedaran pelarian mengenai bahaya dan risiko kegiatan penyeludupan dan perdagangan manusia,” katanya.
Sumber: Kompas.com