PRK: Mohd Azmawi Menang, Nenggiri Kini Milik BN
Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani telah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dengan jumlah undian 9,091 bersamaan 61.30 peratus.
Keputusan yang diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Nik Raisnan Daud itu menyaksikan Azmawi telah menewaskan calon dari PAS, Mohd Rizwadi Ismail dengan majoriti sebanyak 3,352 undi.
Sementara itu, calon Mohd Rizwadi Ismail telah mendapat sebanyak 5,739 undi.
Pilihan raya hari ini juga menyaksikan sebanyak 73.20 peratus orang keluar mengundi dengan jumlah undian sebanyak 14,830.
Ini menyaksikan pertukaran pemerintahan parti politik yang sebelum ini dipegang oleh Mohd Azizi Abu Naim dari PAS. Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan mengisytiharkan kerusi yang disandangnya kosong berkuat kuasa 19 Jun lalu berikutan digugurkan keahlian oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Memetik BERNAMA, DUN Nenggiri telah melalui lima pilihan raya kecil bermula 2004. Kemenangan empat pilihan raya di Nenggiri sebelum ini disandang oleh BN yang kemudiannya dirampas oleh Mohd Azizi.
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan ucapan tahniah kepada Azmawi menerusi hantaran di laman X.
Menurut laporan Sinar Harian sebelum ini, Ketua Pemuda Umno yang dikenali sebagai Awi itu merupakan anak kelahiran Nenggiri. Membesar di Kampung Bertam Lama, beliau pernah muncul sebagai johan Anugerah Belia Perdana Kelantan (Persatuan) pada 2022. Beliau juga telah dilantik sebagai Naib Presiden gerakan belia 4B Malaysia.
BACA: Nahas Udara Elmina Berpunca Akibat Peluasan “Lift Dump Spoiler” – Laporan Akhir
Mempunyai tiga orang anak, Awi merupakan bekas mahasiswa dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian).
Terdahulu, Awi pernah menyatakan hasratnya pada hari penamaan calon agar diberi peluang oleh pengundi Nenggiri.
“Kepada pengundi DUN Nenggiri, beri saya peluang. Saya akan lakukan yang terbaik sebagai wakil mereka (pengundi) di DUN Nenggiri nanti, insya-ALLAH,” katanya.
BACA: Ambil Tindakan Segera Jika Ada Kecuaian Dalam Perkhidmatan Awam – PM
Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Sinar Harian