Penduduk di seluruh Malaysia dapat melihat satu fenomena angkasa yang dikenali sebagai hujan meteor Perseids mulai 17 Julai hingga 24 Ogos 2022 ini.
Menurut perkongsian Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), kemuncak hujan meteor Perseids pula dijangka akan berlaku dalam masa terdekat, iaitu pada awal pagi 13 Ogos ini dengan purata 60 meteor per jam.
Nama fenomena ini merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Perseus. Walau bagaimanapun, kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah.
Kredit: Agensi Angkasa MalaysiaDifahamkan, fenomena ini berlaku pada setiap tahun apabila Bumi bergerak mengelilingi Matahari dan melintasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle. Komet Swift-Tuttle mengambil masa selama 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya dan dianggarkan mempunyai nukleus yang berdiameter sebesar 26 kilometer.
Semasa komet tersebut mengorbit mendekati Matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akhirnya akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut. Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera Bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang.
Bila boleh nampak?
Kredit: Getty Images & FacebookHujan meteor Perseids ini akan mencapai tahap maksimum dengan kadar 110 meteor sejam atau hampir dua meteor seminit pada Jumaat 12 Ogos 2022, jam 09:00 malam sehingga menjelang awal pagi 13 Ogos 2022.
Justeru seperti yang dilaporkan MYSA, kemuncak hujan meteor Perseids dijangka berlaku pada awal pagi 13 Ogos ini dengan purata 60 meteor per jam yang boleh dilihat dalam keadaan langit yang gelap dan cuaca yang baik.
Fenomena ini dapat dilihat dalam keadaan langit yang gelap dan cuaca yang baik. Walau bagaimanapun, pengalaman anda untuk menyaksikan fenomena mungkin menjadi kurang sempurna disebabkan terdapat gangguan daripada cahaya bulan hampir purnama semasa kemuncak hujan meteor itu berlaku.
Tips cerap hujan meteor
Gambar: FB Planetarium NegaraSehubungan itu, bagi sesiapa yang ingin menyaksikan fenomena hujan meteor ini, anda perlu ke kawasan yang gelap dan jauh dari pencemaran cahaya, seperti kawasan luar bandar. Lebih gelap, lebih baik.
Pastikan juga pencerapan dilakukan di kawasan yang lapang dan tiada halangan seperti bangunan tinggi, pokok atau rumah. Anda juga boleh cuba dapatkan pemandangan langit yang luas.
Selain itu, sesuaikan mata anda dengan tahap kegelapan selama 20 minit. Ketika sedang mencerap, anda tidak perlu hanya fokus ke arah buruj Perseus sahaja untuk melihat gugusan meteor tersebut kerana ia boleh muncul dari pelbagai arah pada bila-bila masa.
Sumber: Planetarium Negara via Facebook & Agensi Angkasa Malaysia