Rakyat Korea Utara didakwa dilarang untuk berbincang mengenai penurunan berat badan pemerintahnya, Kim Jong Un yang kini dipercayai telah susut, lapor Daily Mail.
Spekulasi mengenai kesihatan Kim bermula apabila beberapa keping foto yang memaparkan penampilan baharu beliau yang dikatakan lebih kurus, tersebar sejak bulan lepas.
Ketika itu, Kim yang bersama dengan ketua-ketua dan pegawai politik serta Angkatan Tentera Korea seperti yang disiarkan di TV kelihatan sedikit cengkung.
Dia didakwa telah mengalami penurunan berat badan hampir 20 kilogram pada awal tahun ini dan isu mengenai fizikal dan kesihatan Kim itu menjadi ‘perbincangan’ dalam kalangan rakyat.
Pihak berkuasa kerajaan menegaskan Kim menjadi lebih kurus disebabkan makan dalam kuantiti sedikit ‘demi negara’ berikutan masalah rakyat yang berdepan krisis kekurangan makanan yang teruk, selain mendakwa Kim berada dalam keadaan sihat.
Oleh itu, bagi mengekang spekulasi liar, sumber memberitahu bahawa unit pengawasan kejiranan telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang memberi amaran kepada orang ramai bahawa perbincangan mengenai kesihatan Kim adalah dilarang sama sekali.
“Unit pengawasan kejiranan juga mengatakan penurunan berat badan secara tiba-tiba bukan disebabkan oleh masalah kesihatan, tetapi dia menderita sendirian demi negara dan orang yang berada dalam krisis,” kata sumber.
Sumber: Daily Mail