Radiasi Solar Mungkin Ganggu Signal Satelit Antara 15 Hingga 22 Mac Ini – MEASAT
MEASAT Global Berhad memaklumkan isyarat satelitnya mungkin terganggu dengan radiasi solar antara 15 hingga 22 Mac.
Perkara berkenaan dimaklumkan syarikat itu melalui satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Menurut MEASAT lagi, gangguan pada isyarat satelit terjadi apabila satelit berada dalam kedudukan sejajar dengan matahari, yang dikenali sebagai fenomena Sun Outgage.
Radiasi solar mungkin ganggu isyarat satelit 15-22 Mac ini
Kata MEASAT lagi, fenomena berkenaan berlaku dua kali setahun sebelum ekuinoks Mac (Februari dan Mac) serta selepas ekuinoks September (September dan Oktober).
“Semasa fenomena ini berlaku, satelit mungkin tidak dapat menerima atau menghantar isyarat. Kualiti isyarat juga mungkin menurun untuk beberapa minit sebelum kembali kepada keadaan normal” kata MEASAT.
Dalam hantaran tersebut, MEASAT berkata gangguan yang berlaku tidak akan berlarutan lebih daripada 12 minit.
Manakala gangguan isyarat yang berlaku akan melibatkan satelit MEASAT-3a, MEASAT-3b dan MEASAT-3d.
Maksud gangguan solar dan bagaimana ia memberi kesan kepada satelit
Menurut portal Step Electronic, semasa matahari melintasi garisan khatulistiwa, bintang itu akan melintasi di bahagian belakang satelit di orbit geostationary. Seterusnya, berada dalam keadaan sejajar dengan piring satelit di Bumi dan satelit di angkasa.
Seperti yang diketahui, Matahari merupakan sumber utama radiasi elektromagnet jalur lebar, yang mana isyaratnya lebih kuat berbanding isyarat yang dipancarkan satelit yang mengorbit Bumi.
Apabila matahari melintas di bahagian belakang satelit, piring satelit di Bumi akan mengutip isyarat lebih kuat yang dipancarkan oleh Matahari.
Isyarat berkenaan pula dengan pantas ‘membanjiri’ dekoder satelit dan modem, yang menyebabkan situasi kehilangan isyarat berlaku.
Gangguan boleh berlarutan sehingga 10 minit
Menurut Step Electronic lagi, gangguan radiasi yang berlaku boleh berlarutan sehingga 10 minit bergantung pada saiz piring satelit yang digunakan di Bumi.
Sebaik sahaja matahari mula bergerak dari bahagian belakang satelit, dekoder atau modem akan menerima semula isyarat daripada satelit, sekaligus akan beroperasi secara normal semula.
Bagaimanapun dalam keadaan tertentu, dekoder satelit atau moden perlu but semula bagi membolehkan perkhidmatannya bersambung.
BACA: Baru Lima Saat Dilancarkan, Roket Ciptaan Syarikat Jepun Meletup
Sumber: MEASAT, Step Electronic