LABUAN, April 7 — Pusat Giat Mara di Kampung Rancha-Rancha di sini yang diwartakan sebagai pusat kuarantin kedua bagi menempatkan pesakit dalam siasatan COVID-19, akan mula beroperasi hari ini.
Pusat kemahiran itu dipilih selepas penilaian dibuat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Labuan, baru-baru ini.
Pegawai APM Labuan Leftenan Marinus Mathius berkata pusat itu dengan kapasiti 125 katil dan dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan pesakit.
“Pusat ini mempunyai bilik operasi bersepadu, pusat operasi perubatan, kawasan kawalan keselamatan dan kaunter pengagihan makanan untuk pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya selepas meninjau kerja pembersihan dan persiapan akhir di pusat itu semalam.
Beliau berkata pemilihan Pusat Giat Mara adalah sejajar dengan dasar kerajaan untuk menggunakan pusat latihan awam sebagai pusat kuarantin.
Pusat kuarantin pertama di Institut Latihan Perindustrian (ILP) mempunyai kapasiti 168 katil dan mula beroperasi sejak 30 Mac lepas.
–BERNAMA