Puluhan kambing milik penduduk Desa Cipondok, Indonesia, ditemui mati dalam keadaan misteri, lapor Tribunnews.
Seorang penduduk tempatan difahamkan ternampak ‘kelibat’ mirip seakan anjing sedang menghisap darah kambing tersebut.
Warmad, seorang penduduk Desa Cipondok menyatakan bahawa sebanyak 24 ekor kambing milik penduduk di situ telah ditemui mati termasuk kambingnya.
“Sebanyak tujuh ekor kambing saya yang telah mati, sangat pelik kematian kambing di kampung kami ini,” kata Warmad ketika ditemui di lokasi itu.
Menurutnya, banyak kambing milik penduduk setempat yang lain juga turut mati.
Bahkan, ada penduduk yang mendakwa bahawa 9 ekor kambing milik mereka turut mati secara misteri.
“Saya tidak tahu punca kematian kambing tersebut,” kata Cipto yang juga ketua kampung Dusun Tiga.
Namun, ramai yang mendakwa bahawa kambing itu mati kerana berpunca daripada kelibat seperti anjing.
“Haiwan seperti anjing ini pernah ditangkap oleh seorang pemilik kambing semasa ia sedang leka menghisap darah.
Kejadian itu, kata Cipto, pernah dilihat oleh seorang penduduk yang ternampak binatang seperti anjing sedang menghisap darah kambing.
“Ada 24 ekor kambing milik penduduk kampung kami yang mati, ianya langsung tidak wajar,” kata Opa Mustopa seorang warga tempatan kepada wartawan.
Menurut Opa, kambing tersebut mati disebabkan digigit binatang buas.
“Terdapat kesan pada bahagian leher kambing dan tiada kerosakan pada tubuh kambing itu sendiri, ya, hanya ada kesan luka di leher sahaja yang disertai dengan kesan darah kering,” kata Opa.
Sebanyak 24 ekor kambing mati akibat daripada kesan yang sama, lanjut Opa. Dia turut menyatakan bahawa ianya berlaku pada setiap malam selama seminggu.
“Kami juga turut ada melakukan rondaan bersama pada waktu malam. Dan ketika kami sedang melakukan rondaan, kami ada terlihat kelibat seakan seekor anjing kecil,” katanya.
Kemudian, katanya, keanehan itu timbul selepas berpuluh-puluh ekor kambing itu mati dengan bangkainya yang masih utuh.
“Ya, bangkai kambing itu masih utuh dan kami mengesyaki bahawa kematian kambing itu disebabkan oleh haiwan tersebut,” katanya.