Projek Perumahan Mampu Milik Perlu Utamakan Piawaian Kualiti, Kesediaan Utiliti – Dr Zaliha
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengingatkan kepada jabatannya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar memastikan projek perumahan mampu milik mengutamakan piawaian kualiti.
Selain itu, perumahan yang dibina juga perlulah mempunyai kesediaan utiliti, akses kepada kemudahan kesihatan dan pendidikan serta perancangan ruang awam yang kondusif.
Beliau berkata sedemikian ketika di Majlis Pecah Tanah Residensi Aman MADANI pada Rabu.
Menurutnya Residensi Aman MADANI adalah sebahagian daripada usaha tersebut.
“Ia dibangunkan dengan keluasan 900 kaki persegi dan menempatkan hampir 3,500 unit rumah serta mengambil kira prinsip pembangunan mampan dan integrasi sosial.
“Walaupun nilai pembangunan kasar projek ini mencecah sehingga 1 bilion ringgit, namun harga jualannya kekal pada 300 ribu seunit.
“Ini adalah suatu perkara yang hanya boleh dicapai dengan kerjasama strategik antara pihak kerajaan, PBT dan juga pemaju,” katanya.
Ujarnya lagi, lokasi Residensi Aman MADANI sangat strategik iaitu berdekatan dengan hospital, sekolah dan juga dengan rangkaian MRT 3 yang sedang dalam pembinaan.
Ia dikatakan secara tidak langsung akan mengurangkan masa perjalanan dan membolehkan keluarga mempunyai lebih banyak masa yang berkualiti
“Ibu bapa boleh menghantar anak ke sekolah yang berhampiran, pulang sebelum malam dan tidak lagi terbeban dengan kos perjalanan berulang dari Semenyih, Rawang atau Nilai.
“Apa yang saya sebutkan ini adalah soal kecekapan ruang hidup. Bandar Kuala Lumpur ini tidak boleh lagi menjadi eksklusif kepada mereka yang berkemampuan tinggi sahaja.
“Kita mahu sebuah kota yang menyatukan, bukan memisahkan,” katanya.
Dalam pada itu, projek Aman MADANI juga menyediakan ruang penjaja khas untuk usahawan kecil.
Malah sistem tadahan air hujan dan pemasangan panel solar juga menjadikan residensi tersebut antara projek yang mampan, selaras dengan visi Bandar CHASE di Wilayah Persekutuan.
Zaliha turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan residensi terbabit dibina dengan perancangan yang rapi.
Selain Zaliha, Majlis Pecah Tanah itu juga turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.