Projek Naik Taraf Jambatan Di Temerloh Dan Pembaikan Cerun Ft 68 Di Bentong, Pahang
TEMERLOH, PAHANG – YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya telah turun padang bagi meneliti kerja-kerja ‘stitching’ atau penyambungan segmental box girder jambatan (span 3, span 4 & span 5) bagi Projek Menaiktaraf Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh Pahang. Kerja-kerja ‘stitching’ tersebut merupakan prosedur akhir bagi penyiapan komponen segmental box girder secara in-situ sebelum proses pembinaan seterusnya dapat dimulakan.
2.Projek naik taraf jambatan daripada dua lorong kepada empat lorong adalah sebahagian dari solusi untuk menyelesaikan isu bottle neck serta kesesakan trafik di jambatan sedia ada terutamanya pada waktu puncak dan musim perayaan selain meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di Laluan FT002 terlibat.
3.Projek ini telah diluluskan di bawah peruntukan pembangunan Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Kesebelas (RP3, RMKe-11) Tahun 2020. Kaedah perolehan projek ini adalah secara tender terbuka di mana pembinaan projek telah dimulakan pada 10 September 2020 dan dijangka siap pada penghujung tahun 2024 dengan kos kontrak semasa berjumlah RM102juta. Antara skop kerja utama projek adalah membina jambatan baharu bersebelahan jambatan sedia ada berukuran 655 meter(m) panjang dan 11.5 m lebar, menaik taraf jalan tuju sepanjang 1.5 km, menaik taraf dan membina sistem saliran, pemasangan lampu dan perabot jalan, pengambilan tanah dan pengalihan utitili.
4.Antara keistimewaan projek ini adalah decking system daripada segmental box girder (SBG) sepanjang 200 m yang digunakan pada rentang utama jambatan (span 4) tersebut di mana ianya merupakan antara yang terpanjang di Malaysia. Keseluruhan proses rekabentuk dilaksanakan sepenuhnya oleh tenaga kepakaran tempatan dari Jabatan Kerja Raya Malaysia.
5.Kerajaan melalui agensi-agensi teknikal sedia ada mempunyai kepakaran dan mampu bersaing dengan negara luar sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada khidmat pakar / tenaga kerja asing dalam merealisasikan matlamat Kerajaan untuk menyediakan infrastruktur yang selamat dan selesa kepada rakyat Malaysia Madani.
6.Segmen kedua dari program turun padang YB Menteri Kerja Raya hari ini turut meninjau kemajuan kerja pembaikan cerun di jalan persekutuan FT68 Kuala Lumpur– Bentong. Pada 25 November 2023, satu kejadian runtuhan cerun dan kejadian pokok tumbang telah berlaku di beberapa lokasi di seksyen 40.00 – 48.00, Jalan Bentong Lama–Kuala Lumpur, Daerah Bentong, Pahang. Ini disebabkan oleh kejadian hujan lebat berterusan selama satu minggu yang menyebabkan aliran air permukaan yang tinggi dan hakisan pada permukaan cerun.
7.Akibatnya, laluan tersebut telah terputus hubungan serta tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan. Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Bentong telah menjalankan kerja pembersihan jalan bagi memastikan laluan tersebut boleh dilalui oleh pengguna jalan raya.
8.Pihak Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) JKR telah mengadakan lawatan tapak pada 27 November 2023 bagi mengenal pasti dan menilai impak runtuhan cerun serta kerja-kerja pembaikan yang diperlukan di sepanjang laluan tersebut. Permohonan peruntukan bagi kerja pembaikan cerun yang terlibat telah diangkat kepada pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) dan sebanyak tiga (3) lokasi telah diluluskan untuk dibaiki iaitu di Seksyen 47.40 (RM931 ribu), Seksyen 42.90 (RM3.12 juta) dan Seksyen 57.50 (RM1.96 juta) yang membawa jumlah keseluruhan bernilai RM6.011 juta.
9.Kerja-kerja pembaikan telah dimulakan pada Februari 2024 untuk Seksyen 47.40 dan Seksyen 42.90 dan dijangka siap pada Oktober 2024 manakala Seksyen 57.50 telah dimulakan pada April 2024 dan dijangka siap pada Januari 2025. Hasil tinjauan mendapati Seksyen 42.90 kini sudah 45% siap mendahului jadual (35%). Seksyen 47.40 pula telah disiapkan 18%, manakala Seksyen 57.50 baharu dimulakan dan telah menjangkau 8% kerja.
10.Semua kontraktor yang dilantik telah diberikan tanggungjawab dan amanah serta sentiasa diingatkan supaya terus tekun dalam pelaksanaan projek untuk memastikan bukn sahaja projek disiapkan mengikut jadual tetapi memenuhi spesifikasi dan kualiti yg ditetapkan. Prestasi dan kualiti kerja kontraktor akan dinilai dan direkodkan serta akan dijadikan asas dalam pertimbangan pemberian kerja di masa hadapan.
11.Pelaksanaan kerja pembinaan jambatan (Temerloh) dan pembaikan cerun (Bentong) ini merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani dalam membina dan menyenggara rangkaian jalan raya selaras dengan hasrat Program MYJalan KKR yang ingin menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat kepada semua rakyat secara konsisten dan berterusan.