Selain di Malaysia, komuniti umat Islam di Singapura juga menjalani bulan puasa yang sedikit berbeza pada tahun ini kerana pandemik Covid-19 yang berterusan.
Negara itu juga telah melanjutkan tempoh circuit breaker atau perintah kawalan pergerakan. Keadaan ini menjadikan semua masjid di Singapura juga ditutup sehingga dimaklumkan kelak.
Sebelum ini, masjid-masjid di Singapura setiap tahun akan menyediakan hidangan sahur dan berbuka kepada komuniti yang kurang berkemampuan namun tahun ini mereka tidak menerima bantuan itu kerana penutupan masjid.
Pun begitu, mereka bernasib baik kerana seorang pelajar sepenuh masa, Ruzaini Syazwan, menggunakan inisiatif sendiri untuk meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan.
“Kami umat Islam yang berkemampuan boleh merasakan bahawa Ramadan kali ini berbeza tanpa masjid. Jadi, saya mula tertanya-tanya mengenai orang-orang yang bergantung kepada pihak masjid untuk mendapatkan hidangan berbuka dan bersahur. Bagaimana mereka menghadapinya?,” katanya.
Ruzaini menggunakan laman Instagram untuk mengumpulkan derma dari orang ramai dan dia sendiri akan membeli dan menghantar makanan kepada yang memerlukan.
Terdapat lebih kurang 20 gelandangan yang mendapat makanan percuma darinya, lapor Berita Mediacorp.
Tambahan lagi, Ruzaini juga memberikan makanan kepada 30 orang bukan Muslim yang juga bergelut semasa tempoh ini.
Melalui kiriman di laman Facebook semalam, Ruzaini mengatakan bahawa dia telah mengagihkan sejumlah 250 makanan setakat ini.
Gambar:MothershipSumber: Mothership