Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dilaporkan telah dimasukkan ke hospital pada Rabu kerana mengalami masalah sedu yang tidak hilang sejak beberapa hari yang lalu.
Menurut Daily Mail, Bolsonaro, 66, telah dibawa ke Hospital Angkatan Bersenjata di Brasilia, beliau merasa tidak sihat tetapi berada dalam keadaan yang baik.
Difahamkan, beliau mengalami sedu kronik lebih dari 10 hari dan doktor kini sedang memeriksa punca masalah tersebut.
Sementara itu, segala mesyuarat dan pertemuannya dengan ketua-ketua Mahkamah Agung dan kongres mengenai ketegangan yang berlaku dalam pemerintahannya terpaksa dibatalkan.
Bolsonaro sebelum ini beberapa kali pernah mengatakan bahawa dia mengalami sedu yang boleh terjadi selama berhari-hari.
Doktor mengesyaki bahawa penyakit yang jarang berlaku itu berpunca dari pembedahan abdomen yang berulang setelah dia ditikam di usus dan mengalami kecederaan yang parah pada kempen tahun 2018.
Presiden Brazil itu dikatakan telah melakukan beberapa operasi untuk merawat kecederaannya dan dijangka akan melakukannya sekali lagi pada hujung tahun ini kerana mempunyai beberapa masalah kesihatan yang lain.
Sumber: Daily Mail