PUTRAJAYA, 29 Julai – Satu mayat lelaki tidak dikenali ditemui mati terbaring di kaki lima di sebuah premis perniagaan di kawasan Indahpura Kulai, Johor awal pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Supritendan Tok Beng Yeow, ekoran penemuan tersebut, kumpulan forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dikerahkan ke lokasi berkenaan bagi membantu proses siasatan.
“Semakan ke atas mayat si mati didapati terdapat kecederaan iaitu kesan lebam di bahagian mata sebelah kanan, selain beberapa kesan lebam di bahagian muka dan terdapat kesan darah yang keluar dari mulut si mati.
“Semakan dan pemeriksaan pihak polis di lokasi kejadian tidak menemui sebarang objek atau item yang disyaki senjata yang digunakan dalam kejadian, pihak polis tidak menyangkal mungkin si mati terlibat dalam kes pergaduhan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, jelas beliau, pihak hospital turut hadir ke lokasi kejadian bagi mengesahkan kematian si mati, sebelum ia dihantar ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru bagi tujuan bedah siasat.
“Hasil laporan perubatan mendapati kematian si mati adalah disebabkan kecederaan dipukul dengan objek keras tumpul pada bahagian abdomen,” tambah kenyataan itu lagi.
Sementara itu, pada hari yang sama, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Kulai telah membuat tangkapan terhadap tiga lelaki warganegara Nepal, masing-masing berumur lingkungan 23 hingga 37 tahun.
Tangkapan dibuat di Jalan Seroja 4, Kawasan Perindustrian Indahpura Kulai dan di Jalan Teratai 36/43, Indahpura Kulai bagi siasatan lanjut.
“Kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk bantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh). Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati,” jelasnya lagi.


Sumber: Polis Daerah Kulai