Ceroboh & Tinggal Di Unit Pangsapuri, 3 Warga Asing Ditahan
Polis Diraja Malaysia menahan tiga lelaki warga Bangladesh yang menceroboh dan tinggal di sebuah unit pangsapuri kosong dekat Puchong.
Menurut Sinar Harian, ketiga-tiga suspek ditahan semalam, sekitar jam 9 malam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata mereka yang ditahan berumur antara 23 hingga 30 tahun.
“Penahanan tiga suspek warga Bangladesh itu dibuat setelah pemilik rumah berkenaan membuat laporan di Balai Polis Ayer Putih, Kemaman, Terengganu dan dijadikan laporan kepada Balai Polis Putra Perdana, Puchong.
“Siasatan awal dijalankan mendapati ketiga-tiga suspek terbabit mengaku tinggal di rumah itu sejak dua bulan lalu selain bertindak merosakkan kunci pintu dan menggantikannya dengan yang baru,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Wan Kamarul Azran, kes itu masih dalam siasatan lanjut pihaknya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Lelaki Terkejut Rumah Disangka Kosong Sejak 10 Tahun Dihuni Warga Asing
Ahad lepas, seorang lelaki mendakwa rumah milik rakannya yang dipercayai kosong sejak 10 tahun lalu telah didiami sekumpulan warga asing.
Perkara itu didedahkan lelaki berkenaan dalam satu muat naik hantaran di Facebook.
Rumah berkenaan dikatakan hendak dijual dan lelaki berkenaan hadir untuk membuat tinjauan terlebih dahulu.
Menurut Sinar Harian lagi, lelaki berkenaan bagaimanapun terkejut apabila mendapati rumah yang difahamkan kosong itu sebaliknya dihuni warga asing.
Sumber: Sinar Harian