Polis Sahkan Terima Laporan Remaja Dikurung, Dipukul Lapan Lelaki
Polis mengesahkan telah menerima laporan daripada seorang remaja lelaki tempatan berusia 21 tahun yang mendakwa dirinya telah dikurung dan dipukul oleh lapan individu lelaki di sebuah pangsapuri di Johor, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihak polis telah mengesan satu video tular berdurasi 2 minit 7 saat yang dimuat naik di laman Facebook sekitar jam 10.30 malam pada 21 April 2025.
Video tersebut memaparkan sekumpulan individu bertindak memukul seorang lelaki di dalam sebuah rumah.
“Hasil siasatan dapati mangsa telah pergi ke rumah pangsapuri tersebut atas jemputan (1) perempuan kenalan melalui aplikasi media sosial.
“Setelah mangsa sampai ke dalam rumah telah dikurung dan dipukul serta dicederakan oleh (8) lelaki warga tempatan.
“Akibat kejadian tersebut mangsa telah mengalami kecederaan luka di bahagian bibir, luka di telinga kiri dan sakit bengkak badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam telah melakukan serbuan sekitar jam 2.30 pagi pada 21 April dan berjaya menahan tujuh lelaki serta seorang wanita tempatan berumur antara 19 hingga 26 tahun.
“Lima orang daripada saspek mempunyai rekod lampau pelbagai kesalahan berkait jenayah dan dadah.
“Hasil ujian saringan awal air kencing kesemua tangkapan mendapati empat saspek positif dadah jenis methamphetamine,” tambahnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kes ini sedang disiasat di bawah tiga peruntukan undang-undang.
Pertama, Seksyen 342 Kanun Keseksaan, iaitu jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Kedua, Seksyen 385 Kanun Keseksaan, iaitu jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, atau didenda, atau disebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Ketiga, Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu jika disabitkan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kes ini bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan secara telus dan adil.
Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Devandran A/L Ganesan di talian 014-6676431 atau menghubungi Hotline IPD Seri Alam di talian 07-3864222.
BACA: AS Kenakan Duti Import Baharu Terhadap Panel Solar Dari Asia Tenggara
BACA: PRK Ayer Kuning: 90.4 Peratus Tunai Tanggungjawab Undi Awal Setakat Tengah Hari
Sumber: Polis Daerah Seri Alam