
Polis Sahkan Terima Laporan Berhubung Pelakon Remaja Diganggu Secara Seksual Oleh Bapa
Polis telah mengesahkan satu laporan dibuat oleh seorang pelakon remaja terhadap bapanya semalam berikutan gangguan secara seksual serta tidak menjaga kebajikan mangsa.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan polis itu dibuat sendiri oleh mangsa.
Laporan tersebut menyatakan bahawa mangsa telah diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya sendiri semasa mangsa baru berusia enam tahun.
“Kejadian berlaku semasa mangsa berumur 6 tahun sewaktu tinggal di kawasan Subang Jaya. Saspek melakukan gangguan seksua; tersebut terhadap mangsa apabila ibu mangsa tiada bersama di rumah,” ujarnya.
Menurut beliau lagi dalam laporan itu, mangsa mengadu sering dipertontonkan dengan video lucah.
“Mangsa juga sering dipertontonkan dengan video lucah dalam telefon bimbit ayah kandungnya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Bertindak atas laporan tersebut, polis kini telah melancarkan siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul, Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah
Sehubungan dengan itu, Wan Azlan juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta untuk tampil beri kerjasama dengan pihak polis dan boleh menghubungi pihak polis di Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di nombor 03-78627100.
Sumber: Polis Daerah Subang Jaya
Baca: “Bukannya Rumah Pusaka..,” MAIWP Terkejut Dapati Asnaf Tinggal Di Kondo Mewah