Pihak polis menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam menyalurkan derma untuk mangsa banjir kerana wujudnya penipuan berkaitan kutipan derma itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia, Dato’ Mohd Kamarudin Md Din berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan wujudnya segelintir individu yang mengambil kesempatan dari isu banjir untuk membuat kutipan derma bagi kegunaan sendiri.
“Berdasarkan pemerhatian, pelbagai inisiatif kutipan derma telah dilancarkan oleh parti politik, badan bukan kerajaan, syarikat swasta, individu persendirian dan sebagainya bertujuan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.
“Kebiasaannya aktiviti kutipan yang bersifat kebajikan ini akan mendapat maklum balas yang positif daripada rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Menurutnya lagi, walaupun sehingga kini tiada sebarang laporan polis yang diterima, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dalam menyalurkan derma agar ianya benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.
Beliau juga menegaskan pihak polis sentiasa memantau aktiviti kutipan derma terutama yang dilakukan melalui internet dan sebarang aktiviti yang meragukan akan disiasat di bawah seksyen 420 kanun keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang informasi berkenaaan aktiviti penipuan kutipan derma ini digesa untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis melalui CCID Scam Response Center yang boleh dihubungi melalui 03-26101559/1599 atau membuat laporan polis di mana-mana balai polis yang berhampiran untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Sumber: Bernama Radio