
Tidak lama selepas kes buli di salah sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) tersebar, pihak polis turut menerima laporan kes buli yang melibatkan tiga sekolah berasrama di Pahang.
Memetik laporan Kosmo, kesemua laporan membabitkan ketiga-tiga sekolah berasrama di negeri itu dibuat dalam masa empat hari, bermula 6 Disember lalu. Salah satu kes melibatkan sebuah sekolah berasrama di Rompin.
“Soal siasat mendapati mangsa menyembunyikan kejadian dan hanya membuat laporan polis setelah balik bercuti dan juga apabila disedari oleh keluarga mereka,” kata Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohd Yusri, kesemua pelajar yang melakukan perbuatan tersebut di sekolah berasrama di Rompin telah dikenalpasti atas bantuan pihak sekolah. Siasatan kini sedang giat dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Tambahnya memetik laporan Kosmo, laporan pertama dibuat 6 Disember lalu, membabitkan seorang pelajar tingkatan dua yang mengalami bengkak dan lebam di bahagian badan. Mangsa mengaku dipukul senior kerana menyalahgunakan telefon bimbit.
Laporan kedua diterima pada 10 Disember, melibatkan seorang pelajar tingkatan satu dari sebuah sekolah berasrama di Maran. Pelajar berkenaan menyatakan bahawa dia dipukul beberapa pelajar senior sehingga lebam pada bahagian perut atas alasan memotong barisan di dewan makan asrama.
Sementara satu lagi laporan kes buli dibuat oleh pelajar tingkatan dua pada hari yang sama, dipercayai dipukul dengan tangan oleh beberapa orang pelajar senior berpunca kerana dituduh menghisap vape di asrama. Pelajar dari sebuah sekolah berasrama di Kuala Lipis itu mengalami kesan lebam dan bengkak di bahagian muka.
Sumber: Kosmo