Puluhan anggota polis Israel didakwa menyerbu Masjid Al-Aqsa di Kota Lama Baitulmaqdis awal pagi tadi ketika jemaah sedang menunaikan solat Subuh.
Memetik Palestin News Agency (WAFA), saksi mendakwa polis menyerbu perkarangan masjid itu ketika beribu-ribu jemaah termasuk warga emas, wanita dan kanak-kanak sedang menunaikan solat Subuh.
Polis Israel didakwa menembak peluru getah, membaling stun grenade dan gas pemedih mata ke dalam ruang solat. Jemaah yang panik dilapor bertempiaran melarikan diri dan mencari tempat selamat untuk berlindung daripada serbuan tersebut.
WAFA turut melaporkan bahawa serbuan berkenaan dilakukan secara rambang dengan polis Israel didakwa menyerbu daripada pelbagai arah masjid.
Persatuan Bulan Sabit Merah yang bergegas ke lokasi kejadian memaklumkan pihaknya ketika ini menguruskan sekurang-kurangnya 60 pengunjung yang cedera. Kebanyakan mereka mengalami kecederaan pada bahagian atas badan dan terpaksa dipindahkan ke hospital untuk rawatan segera.
Serangan itu berlaku ketika umat Islam Palestin bersiap sedia untuk menghadiri solat Jumaat kedua di bulan Ramadan di Masjid Al-Aqsa. Jumaat lalu, dianggarkan seramai 80,000 jemaah telah menghadiri solat Jumaat Ramadan pertama di masjid tersebut.
Berdasarkan laporan, Israel telah mengetatkan syarat kemasukan untuk menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa dengan mengehadkan kemasukan kepada jemaah wanita dan lelaki yang berumur 50 tahun ke atas sahaja.
Sumber: Palestine News Agency (WAFA)