Polis Didakwa Bunuh Pelajar: Pembelaan Mohon Tempoh Kemuka Hujah Baharu Seksyen 300(d)
IPOH, 16 Julai (Bernama) — Pihak pembelaan dalam perbicaraan kes membabitkan pegawai kanan polis yang didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, dua tahun lalu, akan memfailkan hujahan bertulis baharu berkaitan Seksyen 300 (d) Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz berkata seksyen berkenaan telah disebut ketika ucapan pembukaan kes itu pada 5 November tahun lepas, namun hujahan pihak pembelaan tidak tertumpu pada seksyen itu sahaja.
“Dalam ucapan pembukaan, kita nyatakan bahawa pendakwaan akan bergantung kepada Seksyen 300(c) dan 300(d) Kanun Keseksaan. Tetapi, hujahan yang dikemukakan oleh peguam lebih memfokuskan kepada 300(c).
“Jadi, pembelaan perlu memfailkan hujahan baharu bagi Seksyen 300(d) supaya tiada isu teknikal sekiranya kes ini dibawa ke peringkat rayuan,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini.
Terdahulu, peguam M. Athimulan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan perlu menyemak semula dan mengemukakan hujahan lengkap yang merangkumi kedua-dua seksyen berkaitan.
“Hujahan asal kami melibatkan Seksyen 300(c) dan (d), tetapi lebih tertumpu kepada 300(c). Oleh kerana pendakwaan kini berhasrat untuk bergantung kepada 300(d), kami perlu menyemak dan menyusun semula keseluruhan hujahan kami.
“Sehubungan itu, kami memohon penangguhan selama enam minggu bagi memfailkan hujahan baharu,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan tersebut, dan menetapkan tempoh enam minggu untuk pembelaan mengemukakan hujahan bertulis baharu, manakala pendakwaan diberikan empat minggu selepas itu untuk membalasnya.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet menetapkan 1 dan 2 Oktober depan bagi mendengar penghujahan penuh daripada kedua-dua pihak.
Menurut ucapan pembukaan kes sebelum ini, Seksyen 300(c) merujuk kepada perbuatan membunuh jika kecederaan yang dilakukan adalah dengan niat dan kecederaan itu secara lazimnya cukup untuk menyebabkan kematian.
Sementara Seksyen 300(d) melibatkan perbuatan yang dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia amat berbahaya dan berkemungkinan menyebabkan kematian, walaupun tanpa niat langsung untuk membunuh.
Pendakwaan dikendalikan Afzainizam Abdul Aziz bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani, manakala tertuduh diwakili oleh M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di sini, antara 11.55 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Sumber: Bernama
BACA: Syiling Malaysia Ditinggalkan Di Patung Nathan Hale
BACA: Bas Terbakar Di Lebuhraya MEX