Kredit: Bernama

Polis Akan Rombak, Atur Semula Sebahagian Sekatan Jalan Raya Seluruh Negara – Ketua Polis Negara

Amira

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) – Sebahagian lokasi sekatan jalan raya di seluruh negara akan diatur semula ke lokasi lebih strategik, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, ia susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Abdul Hamid turut berkata pasukan pemantau akan ditambah bagi memastikan orang ramai mematuhi jarakan sosial.

Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja berkata sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antaranya, restoran dibenar beroperasi dengan mematuhi SOP perniagaan, aktiviti sukan outdoor (luar) seperti bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton, jogging, kayuhan basikal, golf dan larian tidak melebihi 10 orang dibenarkan dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial.

Sumber: BERNAMA