Baru-baru ini pendakwah dan aktivis, Ustaz Ebit Lew menjalankan tanggungjawab menyampaikan seruan dakwah kepada kaum Bajau Laut di Sabah.
Difahamkan, ratusan orang masyarakat di sana ‘sendiri’ yang bertanyakan kepadanya tentang kewujudan Tuhan.
Atas niat membantu menyebarkan syariat Islam, Ustaz Ebit dengan hati yang tekad mengajar mereka melafazkan dua kalimah syahadah.
Sehubungan itu, demi memastikan usaha tersebut berterusan dan mampan, beliau memaklumkan akan membina bangunan sekolah serta mencari beberapa guru untuk mengajar agama Islam di sana.
Pagi ini, menerusi satu hantaran di Facebook, Ustaz Ebit berkata pihaknya akan memulakan misi sekolah agama tersebut.
Gambar: Ustaz Ebit Lew“Pohon doakan ye. Pagi ini nak uruskan tiga sekolah yang dirancang untuk tiga tempat Bajau Laut Gipsi. Orang tiada negara.
“(Juga) ziarah komando VAT 69 dan Maritim. Terima kasih Maritim menyediakan tujuh bot dan bersama (sekali) dalam misi. Semoga menjadi asbab kebaikan,” katanya dalam hantaran tersebut.
Dari asnaf ke mangsa banjir, dari penghuni lorong gelap ke penjara, dari hospital ke pedalaman Sabah, semua usaha Ustaz Ebit Lew sentiasa diiringi sokongan dan doa oleh seluruh rakyat Malaysia.
Semoga misi sekolah kaum Bajau Laut ini berjalan dengan lancar. Ameen.
Sumber: Ustaz Ebit Lew