Pilu, Momen Suami Ketahui Isteri Salah Seorang Mangsa Kebakaran Bangunan Di Jakarta
Baru-baru ini tular momen menyayat hati seorang suami yang tidak dapat menahan sebak selepas mengetahui salah seorang mangsa dalam kebakaran bangunan Terra Drone, Jakarta Pusat merupakan isterinya yang sedang sarat mengandung, lapor portal Kumparan.
Lebih menyayat hati, mereka difahamkan bakal menyambut kelahiran pertama yang dijangka pada Januari depan.
Suara bergetar, tangan berkali-kali mengusap air mata
Dalam klip yang dikongsikan memaparkan si suami tidak dapat menahan sebak sambil terduduk di hujung kaki lima selepas mendapat tahu perkhabaran itu.
Menurut ahli keluarga, mangsa berasal dari Lampung dan jenazah akan dikebumikan di kampung halaman.
Menurut Prasetyo (sepupu), mangsa sempat berusaha turun ke bawah untuk menyelamatkan diri, tetapi akhirnya kembali ke tingkat 5 kerana asap semakin tebal.
Difahamkan, ahli keluarga menerima maklumat berhubung kejadian daripada pihak polis pada jam 3.30 petang waktu tempatan.
Semalam, sebuah bangunan pejabat di Cempaka Baru, Kemayoran terbakar dan mengorbankan seramai 22 orang pada Selasa.
Memetik laporan Kompas.com, jumlah mangsa yang maut itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Metro Jakarta Pusat, Kombes Pol Susatyo Purnomo Condro.
“Selepas semuanya teratur, anggota polis akan mula menjalankan siasatan awal di tempat kejadian, dengan makmal forensik turut hadir untuk mengenal pasti punca kebakaran,” katanya
Anggota bomba dan polis telah selesai memadam kebakaran di tingkat tiga dan empat bangunan pejabat itu.
Berdasarkan maklumat rasmi Balai Bomba Jakarta (Damkar), kebakaran berlaku sekitar jam 12.40 tengah hari waktu tempatan.
Kebakaran pada mulanya dipadamkan oleh pekerja. Namun, api semakin membesar dan asap merebak ke tingkat enam, lapor Detik.com.
Tidak lama selepas itu, anggota bomba tiba di lokasi untuk melakukan pengendalian awal.
Seramai 101 anggota bomba telah dikerahkan untuk memantau kebakaran tersebut.
Dalam pada itu, Susatyo turut berkata kebakaran disyaki bermula di sebuah gudang bateri di tingkat satu.
“Ada bateri di tingkat satu, itu yang terbakar,” katanya.
Sumber: Kumparan