Piala Dunia FIFA tahun ini semestinya perlawanan yang dinanti-nantikan oleh semua ekoran pasukan-pasukan kebangsaan beraksi untuk merebut gelaran juara.
Pada perlawanan sebelum ini, gergasi bola sepak benua Amerika Selatan, Brazil berjaya menewaskan wakil Asia, Korea Selatan 4-1 sebelum mara menentang Croatia di peringkat suku akhir.
Dalam menyambut kehangatan perlawanan itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengajak orang ramai untuk menonton perlawanan suku akhir bersamanya sambil mendengar tazkirah di Nilai.
Intipati perjumpaan itu adalah perkongsian ilmu mengenai bola dengan tajuk yang diberi ‘Kerana Bola Kita Bersaudara’ yang dibawakan oleh Tajdid Hadhari (Ustaz Bola) beserta solat hajat untuk perpaduan rakyat Malaysia.
Kredit: Twitter Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri“Jangan lepaskan peluang menonton perlawanan suku akhir Piala Dunia FIFA 2022 Brazil menentang Croatia bersama-sama saya di Dataran Nilai pada hari Jumaat (9 Disember 2022) bermula jam 9.45 malam!
“Orang ramai yang hadir akan mendapat jamuan percuma (terhad kepada yang terawal), ebook percuma tulisan saya dan tidak lupa cabutan bertuah akan turut diadakan,” katanya dalam satu ciapan di laman Twitter.
Difahamkan juga, takzirah tersebut dibuat bersama anjuran Pejabat Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Muslim Elders Malaysia dengan kerjasama Kopi Rewang dan radio Zayan.
‘Cadang adakan sesi tontonan suku akhir’
Sebelum ini, Dr. Zulkifli membuat ciapan pada 28 November lalu mengulas mengenai sambutan masyarakat dunia terhadap Piala Dunia FIFA yang meraih maklum balas positif dan penuh keharmonian.
Salah satu ciapan yang menarik perhatian ramai apabila beliau bercadang untuk mengadakan sesi tonton suku akhir bersama penyokong sekiranya Brazil melayakkan diri ke pusingan itu.
Apabila ditanya pasukan mana yang disokong, Dr. Zulkifli menyuruh pengikutnya untuk melihat mafla yang diletakkan di leher dalam poster berkenaan.
“Nak tahu dulu Dr Zul sokong mana satu, Brazil ke Croatia?” tanya @ashrafwaren95 menunjukkan minat untuk menghadiri ceramah tersebut.
“Tengok mafla itu,” balas Dr. Zulkifli menunjukkan minatnya kepada pasukan Brazil.
Untuk maklumat lanjut, sila baca perkongsian di bawah.
Sumber: Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri/Twitter