Pesta Menjala Sungai Dong 2025: Usaha YB Fadzli Mohamad Kamal Perkasa Tradisi & Kelestarian
Pahang, 29 Jun 2025 – Seramai 128 peserta menyahut cabaran menjala sejauh 2 kilometer sempena Pesta Menjala Sungai Dong 2025, inisiatif julung kali dianjurkan bagi melestarikan sungai serta mengangkat semula keunikan Sungai Dong yang menjadi nadi rezeki dan laluan perhubungan masyarakat zaman dahulu.
Program kerjasama strategik bersama Jabatan Perikanan Negeri Pahang (JPNP), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia serta agensi-agensi terlibat bermula di Jambatan Sungai Kerak, Kampung Kuala Gali dan berakhir di Jambatan Sungai Dong, Pekan Dong. Objektif utama program adalah seperti berikut:
Memupuk Kesedaran ‘Mencintai Sungai Kita’
Peserta dan pengunjung khususnya dalam kalangan generasi muda diberi pendedahan secara langsung terhadap nilai ekologi sungai serta kepentingan usaha pemuliharaannya.

Mengimbau Keunikan Sungai Dong
Menghidupkan kembali nostalgia terdahulu Sungai Dong yang menjadi sumber rezeki utama dan laluan perhubungan penting penduduk kampung bagi memasarkan hasil hutan serta sumber alam sekitar.

Mengasah Ketahanan Mental dan Fizikal
Aktiviti menjala memerlukan ketahanan fizikal, tumpuan mental serta koordinasi pergerakan yang cekap, khususnya semasa menebar dan menarik jala.

Memperkukuh Silaturrahim
Menjadi platform yang menyatukan komuniti dalam suasana harmoni dan penuh semangat kekitaanPesta ini menjadi simbol komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam usaha memelihara alam sekitar, khususnya sumber air. Usai pertandingan menjala, sebanyak 50,000 ekor anak ikan terdiri daripada spesies Kelah, Lampam Sungai, Sebarau dan Baung dilepaskan ke Sungai Dong oleh Jabatan Perikanan Negeri Pahang.
Inisiatif pelepasan ikan ini merupakan sebahagian daripada program berterusan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Perikanan Negeri Pahang dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Dong. Terdahulu, pada 24 Mac 2025, sebanyak 35,000 ekor anak ikan turut dilepaskan di kawasan Ulu Dong sebagai usaha pemuliharaan yang konsisten.

Peserta dengan jumlah tangkapan paling berat dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan dan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM1,500. Naib juara menerima RM700, tempat ketiga RM500, tempat keempat RM300, manakala tempat kelima hingga kesepuluh masing-masing membawa pulang RM100. Tiga kategori istimewa turut dipertandingkan, iaitu Ikan Paling Bernilai, Ikan Paling Berat dan Ikan Paling Banyak, dengan setiap pemenang menerima wang tunai RM100.

Pesta Menjala Sungai Dong 2025 membuktikan bahawa warisan tradisi digabungkan dengan elemen kesedaran alam sekitar dan penglibatan komuniti mampu menjadi pemangkin kepada pemuliharaan lestari. Ia bukan sekadar medan pertandingan, tetapi medan penyatuan antara manusia dan alam, antara sejarah dan masa depan.