
Pesawat Bawa Pelosi Didakwa Mengelak Lalu Ruang Udara Laut China Selatan, Dah Sampai Taiwan
Pesawat Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) yang membawa delegasi diketuai oleh Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi dilaporkan telah mendarat di Taipei sebentar tadi, lapor Nikkei Asia.
Pelosi dipercayai telah disambut oleh Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu dan Pengarah Institut AS di Taiwan, Sandra Oudkirk di lapangan terbang Songshan Taipei.

Terdahulu, pesawat Pelosi didakwa telah mengelak dari melalui Laut China Selatan, lapor Taiwan News.
Lawatan Pelosi ke Taiwan telah menarik perhatian dunia kerana China sebelum ini mendakwa bahawa lawatan tersebut mencerminkan sikap AS yang tidak menghormati polisi One-China memandangkan Taiwan masih di bawah pemerintahannya, lapor Astro Awani.
Malah, China kini dilaporkan sedang meningkatkan aktiviti ketenteraan menjelang lawatan tersebut.
Dua kapal perang China iaitu pemusnah peluru berpandu dan frigat peluru berpandu turut dikesan di perairan antarabangsa di luar pantai Pulau Lanyu di timur Taiwan pada pagi Selasa.
Sementara itu, laman web pengesanan penerbangan global, Flightradar24 merekodkan sehingga 300,000 pelawat hari ini, yang dipercayai untuk menjejaki pesawat yang membawa Pelosi.

Peta di dalam laman web itu juga menunjukkan bahawa pesawat itu berkemungkinan mengelak untuk terbang di atas Laut China Selatan iaitu yang melibatkan pulau-pulau yang bercanggah dan tuntutan maritim di rantau itu oleh beberapa negara berdaulat termasuk China.
Dalam pada itu, Pelosi dan delegasinya telah berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 3.42 petang.
Beliau dijangka akan melawat Taiwan dan bertemu Presiden Tsai Ing-wen pada Rabu, yang dilihat sebagai ‘langkah’ yang mengingkari amaran berulang dari Beijing.
Memetik laporan South China Morning Post, Kementerian Luar China berkata AS akan ‘membayar harga’ jika Pelosi melawat Taiwan.
“Pihak AS akan memikul tanggungjawab dan membayar harga kerana menjejaskan kepentingan keselamatan kedaulatan China,” kata jurucakap kementerian luar negara Hua Chunying.
Beijing telah berikrar untuk mengambil ‘langkah yang kuat’ sebagai tindak balas kepada lawatan yang tidak diumumkan secara rasmi itu.
China dan Taiwan juga dipercayai telah meningkatkan penempatan tentera merentasi Selat Taiwan.
Sumber: Nikkei Asia, Taiwan News, South China Morning Post, Astro Awani