pertarungan Ufc di rumah putih
Gambar: X US Homeland Security News

Pertarungan UFC Akan Dianjurkan Buat Julung Kali Di Rumah Putih Pada 4 Julai Tahun Depan

Iqbal Yasir

Pertarungan UFC Akan Dianjurkan Buat Julung Kali Di Rumah Putih Pada 4 Julai Tahun Depan

ISTANBUL, (Bernama) — Pertubuhan Ultimate Fighting Championship (UFC) akan menganjurkan pertarungan di halaman Rumah Putih pada 4 Julai tahun depan, umum Ketua Pegawai Eksekutif UFC Dana White pada program CBS Mornings, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Beliau berkata acara itu akan bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-250 penubuhan Amerika Syarikat (AS).

White berkata pada Isnin malam beliau berbincang dengan Presiden Donald Trump mengenai rancangan itu dan akan bertemu Trump serta Ivanka Trump akhir bulan ini untuk memuktamadkan butirannya. Pemilihan petarung masih belum dibuat.

Satu sumber yang mengetahui perancangan itu mengesahkan Rumah Putih menjangkakan acara berkenaan akan diteruskan.

Trump mula mengutarakan idea itu bulan lepas semasa pelancaran sambutan ulang tahun ke-250 yang akan berlangsung selama setahun.

White mengakui kemungkinan wujud isu logistik memandangkan acara UFC lazimnya diadakan di stadium, manakala kapasiti tempat duduk di halaman Rumah Putih adalah terhad.

Beliau menegaskan nilai simbolik penganjuran pertarungan dengan Rumah Putih dan Monumen Washington sebagai latar belakang.

Pengumuman itu dibuat ketika UFC sedang memuktamadkan perjanjian penstriman selama tujuh tahun dengan Paramount bernilai purata US$1.1 bilion setahun.

Sumber: BERNAMA

BACA: Ini Kata Khabib Usai Pertarungan UFC Islam Makhachev, Umar Nurmagomedov

BACA: Islam Makhachev Pecah Rekod Tiga Legenda UFC