Persidangan Parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan pada akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September nanti.
Perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menerusi kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.
Menerusi kenyataan itu, ia merupakan langkah spesifik yang diambil bagi mengelakkan penyebaran wabak COVID-19 secara meluas akibat daripada persidangan itu.
Tidak cuma itu, keputusan untuk mengadakan Persidangan Parlimen secara hibrid itu dilakukan oleh Jawatankuasa Khas Pemandu persidangan Parlimen Secara Hibrid yang dipengerusikan bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan dianggotai oleh Timbalan-timbalan Yang di-Pertua dan Setiausaha kedua-dua Dewan serta pihak urus setia parlimen Malaysia di bawah pimpinan Puan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia.
Jawatankuasa itu telah pun mengkaji dan meneliti aspek teknologi dan metodologi perjalanan persidangan hibrid itu.
“Dijangka persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos ataupun selewat-lewatnya minggu pertama September 2021,” kata kenyataan itu.
Sumber: Parlimen Malaysia