Penggunaan penyaman udara sudah sangat umum dalam kehidupan kita. Dari kereta, rumah, pejabat atau pusat membeli-belah, penyaman udara dipasang dengan satu tujuan iaitu memberi keselesaan ketika berada dalam satu ruangan.
Penyaman udara merupakan sistem yang mengeluarkan haba keluar dari dalam ruangan dan menyalurkannya ke luar.
Penyaman udara mampu mengubah suhu, kelembapan, dan kualiti udara. Lebih tepat lagi, ia membuatkan rumah anda lebih dingin, dengan menyalur keluar haba dari dalam rumah dan menggantikannya dengan udara luar yang lebih nyaman.
Ketika sedang menetapkan suhu pada alat kawalan jauh penyaman udara anda, pernahkah anda tertanya-tanya, apakah proses yang berlaku di sebalik alat yang melekap di dinding rumah anda itu?
Bagaimana penyaman udara berfungsi?
Penyaman udara menyalurkan udara dingin dengan melakukan proses pengeluaran udara hangat dari dalam ruangan untuk menyingkirkan haba.
Penyaman udara menggunakan sistem pemisahan, di mana pemampat meluwap dan mengitarkan suatu bahan penyejuk dan menukarkannya dari bentuk gas ke cecair. Cecair kemudiannya disejatkan oleh gegelung penyejuk atau medium penyejuk.
Kipas dari unit dalaman mengitarkan udara dalam ruangan melalui penyejat. Sirip penyejat yang diperbuat daripada logam menggantikan tenaga haba dengan udara di sekitarnya.
Kemudian, bahan penyejuk bertukar daripada bentuk cecair ke wap, menyingkirkan haba daripada udara sekeliling. Selepas haba disingkirkan, udara dingin disalur masuk ke dalam ruangan.
Pada masa yang sama, unit luar atau pemeluwap menukar kembali bahan penyejuk dari wap ke cecair untuk menyingkirkan haba yang terperangkap.
Cecair tersebut keluar daripada penyejat dalam keadaan dingin dan bertekanan rendah, kemudian kembali ke pemeluwap dan bersedia mengulangi proses yang sama hingga mencapai suhu yang anda tetapkan di alat kawalan jauh anda.
Sumber: Trane