PERKESO Lancar Bulan Pemutihan Mei Ini, Sebelum OPS KESAN Kebangsaan Pada Julai 2023

Amira

Buat pertama kali, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melaksanakan Bulan Pemutihan selama dua bulan berbanding hanya sebulan sebelum ini. Program ini adalah bagi memberi peluang kepada para majikan untuk mendaftar dan mencarum buat pekerja mereka secara sukarela tanpa dikenakan tindakan undang-undang walaupun telah melewati tempoh ditetapkan.

Menurut Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, badan itu akan melancarkan OPS KESAN 2023 pada Julai ini bagi memastikan setiap pekerja di negara ini mendapat perlindungan keselamatan sosial.

“PERKESO menyeru semua majikan yang layak dan masih belum mendaftar dan mencarum supaya segera berbuat demikian secara sukarela, sama ada menerusi dalam talian melalui Portal ASSIST atau hadir ke mana-mana 54 pejabat PERKESO di seluruh negara, ataupun hubungi Careline PERKESO di 1-300-22-8000,” ujarnya.

Sepanjang Bulan Pemutihan sehingga 30 Jun ini, PERKESO memberi pengecualian kepada majikan daripada tindakan kompaun, pendakwaan ataupun FCLB sekiranya mereka melewati tempoh ditetapkan untuk mendaftar dan mencarum. Tindakan ini adalah bagi memberi peluang kepada para majikan untuk mencarum para pekerja bagi operasi perniagaan susulan perkembangan ekonomi pasca-pandemik COVID-19.

“Sekiranya majikan masih gagal berbuat demikian dalam tempoh pemutihan ini, PERKESO tidak akan berkompromi dengan ketidakpatuhan majikan dan tiada lagi pengecualian daripada tindakan penguatkuasaan akan dipertimbangkan kepada majikan terbabit,” tambah beliau.

Jelas Mohammed Azman, Ops Kesan kali ke-14 ini bertujuan memastikan semua majikan mendaftar perniagaan dan pekerja mereka sebagaimana peruntukan Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), serta Seksyen 14 dan 16 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Berdasarkan rekod PERKESO hampir 1.15 juta majikan telah berdaftar dengan PERKESO di bawah Akta 4 namun jumlah yang aktif mencarum, iaitu sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan adalah 573,390 majikan sehingga 31 Mac 2023.

Jumlah pekerja aktif pula (sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan) adalah seramai 9.31 juta orang.

“Sejak 1 Januari 2019, hanya 1.2 juta pekerja asing atau 52 peratus daripada 2.3 juta pekerja asing yang bekerja secara sah di negara ini, aktif mencarum dengan PERKESO di bawah perlindungan Akta 4. Setakat ini, seramai 28,808 pekerja domestik telah didaftarkan majikan dan mencarum sejak perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja domestik diperkenalkan pada 1 Jun 2021,” katanya.

Tegas beliau, kegagalan majikan untuk mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan pengkompaunan dan pendakwaan, yang mana jumlah kompaun yang dikenakan boleh mencecah RM5,000.00 mengikut kesalahan yang dilakukan.

“Selain itu, majikan juga akan dikenakan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) pada kadar enam (6) peratus setahun di atas setiap hari caruman lewat dibayar, ekoran kegagalan mendaftar dan membayar caruman PERKESO. Sekiranya majikan didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000.00 atau penjara sehingga dua (2) tahun atau kedua duanya sekali.”

Sejak 2019 hingga 2022, sebanyak 8,734 notis kompaun telah dikeluarkan dengan nilai kutipan sebanyak RM2.67 juta kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja mereka. Dalam tempoh yang sama, 9,276 kes telah didakwa di bawah kedua-dua Akta 4 dan Akta 800 atas pelbagai kesalahan.

Ops Kesan yang akan dijalankan pada Julai hadapan akan mengenal pasti majikan yang gagal mendaftar dan mencarum dengan PERKESO bagi memastikan setiap pekerja yang layak, mendapat perlindungan keselamatan sosial, demi kesejahteraan mereka sekiranya ditimpa sebarang musibah yang tidak dijangka. Ini adalah selaras dengan kerangka Malaysia MADANI yang menekankan keterangkuman serta mengutamakan pembangunan yang mampan, sejahtera dan bersifat insan.