Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara telah menjelaskan perkara sebenarnya.
Menurut beliau, pembatalan Ordinan Darurat itu telah dilakukan dengan membelakangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
”Pengumuman pembatalan tersebut telah dibuat tanpa perkenan Seri Paduka Baginda.
”Tindakan Kerajaan, khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara telah mengundang murka DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.
”Mereka telah tidak melaksanakan titah baginda agar cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen,” katanya di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat berpendapat, tindakan kerajaan dalam perkara ini adalah tidak berparlimen dan mereka yang berkaitan perlu mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan dalam kadar segera.
”Tindakan Kerajaan dalam perkara ini adalah tidak berparlimen, tidak berpelembagaan dan telah meletakkan kedudukan mulia institusi raja pada kedudukan yang tidak sewajarnya.
”Mereka yang berkaitan mesti mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan segera. Institusi Parlimen telah tercemar dengan tindakan tidak bertanggungjawab ini.
”Peristiwa ini adalah titik hitam dalam sejarah demokrasi berparlimen Malaysia,” katanya.
Sumber: FB Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan