Penyokong Terengganu meninggal dunia
Kredit Facebook/Terengganu FC

Penyokong Terengganu Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung Di Stadium Semalam

Syed Faisal Sayed Muhammad

Penyokong Terengganu Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung Di Stadium Semalam

Disebalik keseronokan meraikan kemenangan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Piala Malaysia edisi 2023, terselit berita sedih yang tidak diduga terjadi di stadium semalam.

Berita sedih tersebut melibatkan pemergian seorang penyokong pasukan Terengganu FC yang meninggal akibat serangan jantung.

Difahamkan, penyokong itu telah meninggal dunia ketika menonton perlawanan antara Terengganu FC menentang JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ) semalam.

Perkara itu didedahkan oleh pengulas sukan Astro Arena, Wan Khairil Azwa di laman X miliknya pada pagi tadi.

“Salam takziah diucapkan kepada penyokong Terengganu yang meninggal dunia akibat serangan jantung di stadium semalam,” tulis Khairil Azwa secara ringkas.

Bagaiamanapun, sehingga artikel ini ditulis, masih tiada berita lanjut dilaporkan oleh pasukan Terengganu mahupun keluarga penyokong tersebut.

Sementara itu, dalam perlawanan semalam, JDT sekali lagi mempamerkan mutu permainan yang luar biasa selepas berjaya menundukkan Terengganu dengan keputusan 3-1.

Pada separuh aksi pertama, kedua-dua pasukan beraksi seimbang dengan berkesudahan 1-1 menjelang rehat permainan.

JDT terlebih dahulu di depan selepas dihadiahkan sepakan penalti selepas pengadil mengesan kekasaran yang dilakukan pertahanan Terengganu ke atas Fernando Forestieri.

Sepakan penalti seawal minit keenam itu disudahkan Bergson da Silva menjadikan JDT 1-0 Terengganu FC.

Terengganu kemudian meningkatkan intensiti permainan dalam memburu gol penyamaan.

Gol tersebut hadir, juga melalui sepakan penalti selepas Jordi Amat melakukan bentesan dalam kotak penalti ke atas Ivan Mamut.

Sepakan penalti pada minit ke-21 itu diambil sendiri Ivan Mamut untuk menjadikan perlawanan kembali terbuka.

Bersambung ke babak kedua, JDT berjaya menjarakkan kedudukan mereka selepas memperoleh gol kedua hasil tandukan Feroz Baharudin pada minit ke-73.

JDT kemudiannya menamatkan perlawanan dengan kedudukan selesa hasil jaringan sepakan penalti Arif Aiman pada minit ke-93 masa kecederaan.

Kemenangan JDT itu sekaligus berjaya melayakkan pasukan itu untuk menjulang trofi Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut.

BACA: Bergson Tak Kecil Hati Beri Laluan Arif Aiman Ambil Penalti

Sumber: X/@wankhairilazwa