Telur menjadi salah satu makanan kegemaran ramai di seluruh dunia, ia menjadi pelengkap bagi setiap hidangan.
Namun, terdapat satu kajian yang mendakwa bahawa telur boleh meningkatkan risiko kematian jika dimakan terlalu banyak, tidak kira telur yang direbus atau digoreng.
Bukan itu sahaja, para penyelidik dari China ini mendakwa bahawa makan hanya separuh telur meningkatkan kemungkinan kematian sebanyak tujuh peratus, lapor Daily Mail.
Mereka mendakwa bahawa seseorang yang memakan satu telur sehari mempunyai risiko kematian sebanyak 14 peratus berbanding dengan orang yang tidak memakan makanan itu.
Penyelidik China yang mengetuai kajian itu percaya bahawa kadar lemak dan kolesterol yang tinggi dalam telur adalah penyebabnya.
Mereka menyarankan agar orang ramai hanya memakan telur bahagian putih sahaja atau bertukar kepada telur yang lebih sihat yang boleh menurunkan risiko kematian.
Dakwaan mereka itu disusuli oleh soal selidik yang dilakukan kepada setengah juta orang Amerika Syarikat pada tahun 1995 dan 1996, mereka mengikuti perkembangan soal selidik itu selama 16 tahun.
Data dari kajian ini yang diterbitkan dalam PLOS ONE dan menunjukkan seramai 129,328 orang yang mengisi borang asal meninggal dunia.
Penulis bersama, Profesor Yu Zhang dari Universiti Zhejiang mengatakan bahawa pengambilan telur dan kolesterol dikaitkan dengan semua penyebab iaitu penyakit kardiovaskular dan kematian akibat kanser.
“Peningkatan kematian yang berkaitan dengan pengambilan telur banyak dipengaruhi oleh pengambilan kolesterol,” katanya.
Kaitan di antara telur dan kesihatan telah diperdebatkan selama bertahun-tahun dan ia telah lama dianggap sebagai tambahan makanan yang sihat.
“Kajian kami mencadangkan agar mengurangkan pengambilan kolesterol dan menggantikan keseluruhan telur dengan bahagian putih telur sahaja atau memakan sumber protein alternatif lain untuk menjaga kesihatan kardiovaskular dan kelangsungan hidup jangka panjang,” kata Profesor Yu Zhang.
Sumber: Daily Mail