SHAH ALAM, 12 Okt – Kerajaan Selangor akan menghantar cadangan balas kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri dalam kadar segera.
Menteri besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengumuman tersebut adalah di luar jangkaan kerana keputusan mesyuarat Sidang Khas MKN menunjukkan hanya Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling yang mencatatkan bilangan kes COVID-19 membimbangkan.
“Perlu dinyatakan di sini bahawa sehingga hari ini, secara konsensus kerajaan negeri melihat ada beberapa cadangan-cadangan tertentu yang boleh dikemukakan kepada MKN untuk dipertimbangkan.
“Kerajaan negeri berpandangan bahawa beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah masih terkawal.
“Oleh itu, kerajaan negeri akan menghantar cadangan balas kepada pihak MKN dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, semua pihak diharapkan untuk bersedia dengan perubahan tersebut agar penularan wabak COVID-19 berjaya dikawal bersama.
“Kerajaan Negeri juga sangat menghargai komunikasi krisis yang lebih efektif dan konklusif melibatkan semua pihak agar sebarang ketetapan yang diambil tidak menghasilkan sebarang bentuk ketidaktentuan pelaksanaan yang akan memberi impak kepada petugas barisan hadapan, rakyat lebih-lebih lagi pengusaha industri kecil dan sederhana,” tambah kenyataan itu lagi.
Sumber: Menteri Besar Selangor