PUTRAJAYA, 13 April 2022 – Susulan pembukaan pintu sempadan Negara pada 1 April 2022, Negara menerima kemasukan kenderaan kenderaan yang banyak dari pelbagai Negara. Terdapat juga laporan yang diterima daripada orang ramai dan media tentang kenderaan asing mengisi minyak Petrol RON95 khususnya di stesen minyak sempadan Negara.
2.Bagi membendung perkara ini daripada terus berlaku, Kementerian mempergiatkan penguatkuasaan untuk memastikan semua kenderaan berpendaftaran asing termasuk motosikal tidak dibenarkan untuk mengisi minyak Petrol RON95 di seluruh Negara. Walaubagaimanapun, kenderaan-kenderaan tersebut dibenarkan untuk mengisi minyak RON 97 di stesen-stesen minyak diseluruh Negara.
3.Dalam mesyuarat antara KPDNHEP dan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia baru-baru ini, pihak persatuan telah menyatakan sokongan dan komitmen untuk memastikan semua stesen minyak di Malaysia mematuhi perundangan berkaitan larangan penjualan RON 95 diseluruh stesen minyak di Malaysia.
4. Seramai 2,200 pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP digerakkan untuk melaksanakan pemeriksaan dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan di seluruh Negara terhadap mana-mana orang dan pengusaha stesen minyak yang cuba melanggar perundangan berkaitan. Bagi menambahkan keberkesanan penguatkuasaan ini, pegawai –pegawai penguat kuasa Kementerian akan mengadaptasi pendekatan Ops Samar dengan memakai pakaian preman (tidak memakai pakaian seragam) dalam melaksanakan penguatkuasaan ini.
5. Mana-mana orang atau pengusaha stesen minyak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).
6.Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.
7. KPDNHEP memberi amaran keras kepada semua orang dan pengusaha stesen minyak bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati bersalah. Tindakan tegas akan di ambil termasuk mendakwa mereka di Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
8. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana orang atau pengusaha stesen minyak yang melanggar perundangan ini boleh menyalurkan aduan kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:
WhatsApp 019-279 4317
Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
3. Call Centre 1-800-886-800
4. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
5. Ez ADU KPDNHEP